KUALA LUMPUR – Episod kecoh di Dewan Rakyat belum berakhir apabila Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh tiba-tiba memasuki dewan, pagi ini.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Noor berkata, beliau pelik dengan kehadiran Che Mohamad Zulkifly kerana beliau hanya dibenarkan hadir ke dewan, hari esok.
“Besut (Ahli Parlimen) mengapa anda berada di dalam Dewan Rakyat?, soal Ramli.
Che Mohamad Zulkifly menjawab beliau mendapat kebenaran untuk berada di dewan setelah dihalang hadir selama tiga hari.
“Saya sudah minta penjelasan sehingga bila saya boleh hadir semula ke dewan, saya tanya tempoh tiga hari dan Timbalan Speaker beritahu (masuk) hari Isnin.
“Dalam Peraturan Mesyuarat 44 (2) jelas menunjukkan keputusan Speaker adalah muktamad.
Ramli pula berkata, tempoh tiga hari yang berikan adalah jumlah hari persidangan di dalam Dewan Rakyat.
“Peraturan-peraturan itu semua dalam kepala saya, dengar saya cakap Peraturan Mesyuarat 40 (2), maksud saya adalah masa persidangan dan Besut tidak boleh berada di sini,” katanya.
Ramli kemudiannya mengarahkan bentara dewan untuk mengiringi Che Mohamad Zulkifly untuk keluar daripada dewan.
“Besut (Ahli Parlimen) ini bukan mahkamah, (dewan) tidak terikat dengan peraturan.
“Saya telah memutuskan maksud saya berapa tempoh sebagai hari bekerja adalah hari yang berada dalam dewan,” jelasnya lagi.
Che Mohamad Zulkifly kemudiannya berhujah bahawa keputusan Ramli mengenai tempoh beliau memasuki semula dewan adalah tidak betul.
“Jadi keputusan Timbalan Speaker tidak betul, maknanya. Kenapa saya diarahkan masuk hari Isnin?
“Tengok hansard,” tegas Che Mohamad Zulkifly.
Che Mohamad Zulkifly bagaimanapun akur dengan keputusan itu dan diiringi keluar dewan.
Rabu lalu, Che Mohamad Zulkifly diarahkan keluar dewan dan digantung selama tiga hari.
Tindakan diambil selepas beliau ingkar arahan Ramli yang tiga kali mengarahkan beliau duduk.
Ia berlaku apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan mengapa kerajaan menyediakan dua RUU mempunyai tajuk bahasa Inggeris, yang mana Mohamad Che Zulkifly turut mencelah. – MalaysiaGazette