Pix file logo PROTON

KUALA LUMPUR – Syarikat automotif China yang memiliki kepentingan dalam Proton, Geely akan menambahkan pelaburan sebanyak RM2 bilion bagi mengembangkan projek kenderaan elektrik (EV) di Automative High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Geely akan melaksanakan projek tersebut tahun ini.

“Penambahan projek Automative High Tech Valley di Tanjung Malim, Geely dan Proton yang bermula tahun ini di Tanjung Malim (di kawasan) 1,000 ekar dengan permulaan RM2 bilion dan akan mencecah RM30 bilion.

“Syarikat awal iaitu Geely akan hadir pada awal bulan depan dan ia disahkan oleh Proton untuk melaksanakan program di Tanjung Malim selain (program) yang sedia ada.

“Geely hanya mengembangkan projek asal kepada EV dan lain-lain,” kata Anwar di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Fong Kui Lun (Bukit Bintang-PH) ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri yang bertanya mengenai hasil positif lawatan ke China baru-baru ini.

Tambah Anwar, Geely juga akan membawa 300 anak tempatan ke China untuk diberikan latihan kepakaran dalam bidang berkaitan.

Selain Geely, turut akan melabur dalam masa terdekat adalah syarikat petrokimia terbesar, Rongsheng yang bersetuju menambah pelaburan di Pengerang, Johor sehingga RM80 bilion.

Dalam misi dagangan minggu lalu sejumlah 19 memorandum persefahaman bernilai RM170.07 bilion telah ditandatangani antara Malaysia dan China.

Kenterian Perdagangan Antarabangsan dan Industri (MITI) akan memantau perkembangan projek yang ditandatangani.

“Jadi apa yang telah diputuskan (projek pelaburan) melibatkan syarikat-syarikat yang dipantau oleh MITI dan kerajaan China iaitu syarikat melaksana (mula) akhir tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan,” katanya.

Anwar berkata, keseluruhan pelaburan itu akan menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.-MalaysiaGazette