KUALA LUMPUR – Serangan tentera Israel terhadap umat Islam di Masjid Al Aqsa di Palestin semasa bulan Ramadan dikutuk sekeras-kerasnya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seluruh dunia Islam berasa amat sedih dan marah dengan kekejaman yang tidak berkesudahan terhadap saudara Islam mereka di Palestin.
“Kejadian tahunan pada bulan Ramadan tidak lain tidak bukan tindakan yang disengajakan yang tidak boleh dimaafkan, tidak hormat dan kurang ajar.
“Ia adalah pelanggaran berat hak sivil kepada kemanusiaan yang bermaruah dan kebebasan untuk menyembah agama tanpa merugikan orang lain,” katanya yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, sejak awal tahun ini, rejim Zionis yang melampau telah berkuasa dalam entiti Israel, rakyat Palestin mengalami ketegangan dan kebimbangan yang disebabkan oleh pelbagai dasar sekatan yang dikenakan oleh kerajaan.
Semua dasar di bawah rejim Israel termasukn sekatan, pencerobohan dan serangan yang ditujukan kepada Palestin adalah dahsyat dan mesti dihentikan segera.
“Serangan ke atas Al Aqsa bukan sahaja melanggar kesucian Islam tetapi mereka juga melangkaui hak asasi manusia rakyat Palestin dalam melaksanakan hak ibadah mereka.
“Kami menuntut agar provokasi dan serbuan ganas dihentikan segera di al-Haram al-Sharif,” katanya.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mesti memainkan peranannya dalam mengurangkan ketegangan dalam kekacauan dan membantah penahanan rakyat Palestin yang tidak bersalah daripada serbuan itu. – MalaysiaGazette