Rafizi penjilat elaun nelayan fahmi PMQT artis kerajaan
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil diminta menyiasat dakwaan berhubung sekatan ke atas persembahan artis tertentu daripada disiarkan melalui saluran televisyen dan radio milik RTM.

Ketua Portfolio Komunikasi dan Digital, Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau menerima maklumat bahawa pegawai RTM diarahkan untuk memeriksa latar belakang seseorang artis sebelum dijemput membuat persembahan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor difahamkan, rakaman untuk program khas hari raya itu telah siap manakala poster iklan juga telah disebarkan.

“Saya dimaklumkan arahan tersebut menyebabkan ada artis yang akan dipotong keluar daripada siaran pada hari raya pertama walaupun telah dirakam.

“Jika benar ada unsur kepartian sempit dalam perkara ini, maka ia adalah langkah mundur dan zalim. Golongan artis tidak wajar dinilai dengan lensa kepartian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful turut mempersoalkan sama ada arahan baharu untuk gam artis itu mempunyai kaitan dengan usaha menyekat mereka yang tidak sealiran dengan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta Fahmi segera memberi penjelasan atau lebih baik jika terus membetulkan keadaan dengan membenarkan rakaman artis tersebut disiarkan.

“Jika pembatalan ini tidak diarahkan oleh pihak atasan, maka YB Fahmi perlu menyiasat kerana kita tidak mahu ada tindakan pegawai pelaksana yang merosakkan nama kerajaan.

“Bagaimanapun, saya tidak yakin ada pegawai bertindak sendiri tanpa arahan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.