kebakaran rembau
Shamsul Iskandar Md Akin (dua dari kiri) menyampai sumbangan Perdana Menteri kepada seorang ahli keluarga Abd Rahaman Che Teh di Kampung Tanjung, Rembau, hari ini. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Nasib bekas imam, Abd Rahaman Che Teh yang ditimpa musibah setelah rumahnya di Kampung Tanjung, Rembau musnah dalam kebakaran malam semalam mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang sedih dan bersimpati dengan nasib warga emas berusia 73 tahun itu dan keluarganya telah menghulurkan sumbangan kewangan kepada mereka.

Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin kepada Abd Rahman di Kampung Tanjung petang tadi.

“Semoga bantuan yang dihulurkan ini bukan sahaja dapat meringankan beban mereka sekeluarga malah, memberi sedikit sinar di bulan Syawal ini,” katanya dalam hantaran Facebook malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, rumah pusaka arwah isterinya yang didiami keluarga Abd Rahaman selama tiga generasi musnah namun semua penghuninya selamat.

Abd Rahaman yang juga seorang pesara guru menyedari bau seperti benda terbakar selepas beliau berbuka puasa sunat. – MalaysiaGazette