Datuk Zawawi Othman

KOTA BHARU – UMNO Kelantan memberi kata dua kepada Khalid Abd. Samad sama ada memohon maaf secara terbuka atau menerima kesan hubungan yang retak dengan parti itu.

Amaran itu dikeluarkan Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zawawi Othman selepas Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat cuba campur tangan urusan permohonan pengampunan diraja terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

“UMNO Kelantan mendesak Khalid yang juga Pengerusi Amanah Kelantan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada UMNO.

“Ini lanjutan daripada kenyataan beliau yang merayu kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permohonan pengampunan terhadap Najib yang merupakan bekas perdana menteri.

“Untuk pengetahuan Khalid dan Amanah, rayuan pengampunan diraja yang dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Khalid memberi pandangan pengampunan kepada Najib akan menghantar mesej tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara  berhubung sikap dan pendirian kerajaan terhadap rasuah serta salah guna kuasa.

Katanya, ia akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Khalid lagi, walaupun Amanah mengiktiraf pengampunan itu tetapi tidak salah untuknya memberi pandangan terhadap isu berkenaan.

Menurut Zawawi, UMNO Kelantan akan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan Amanah negeri itu sekiranya Khalid tidak menarik balik pernyataan tersebut yang ternyata menyinggung perasaan ahli parti keseluruhannya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. UMNO KELANTAN “seketol” MP pun KELANTANIS tak mahu… dah warning Khalid Samad????
    Khalid Samad harap kau jangan tergelak-gelak sesorang ye.. ajak reramai supaya UMNO tak manipulasi kata kau dah mereng.
    kau bisik ke telinga Wak President Welanon tu… suruh bebudak BODO dia CUCUK HIDUNG SENDIRI senang nak sentap.
    bila pulak Khalid Samad campur tangan dan jumpa YDPA? akarumbi UMNO percaya ke dengan pemimpin UMNO sekarang ni..
    semuga disimpangkan 44 malaikat..

Comments are closed.