SUNGAI PETANI – Dua pemandu lori serta seorang pemandu kereta cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 8 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil berhampiran Bandar Puteri Jaya, di sini, hari ini.
Kejadian jam 3 petang itu menyebabkan tiga lelaki termasuk pemandu lori muatan batu berusia lingkungan 23 hingga 49 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori membawa muatan batu yang datang dari arah Kuala Ketil menghala ke Sungai Petani itu dikatakan terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Hujan lebat selain jalan berada dalam keadaan licin dipercayai punca lori yang membawa muatan batu itu hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan kereta.
“Impak perlanggaran itu menyebabkan berlaku kerosakan teruk pada ketiga-tiga kenderaan selain tayar lori juga tercabut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua mangsa yang cedera dihantar ke HSAH untuk rawatan lanjut.
“Pihak polis juga sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Zaidy. – MalaysiaGazette