Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Menara KWSP Kwasa Damansara di, Kwasa Damansara, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 08 MEI 2023.

SUNGAI BULOH – Cadangan supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini belum dibawa ke meja perbincangan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Belum lagi, tak bincang lagi (cadangan 20 peratus potongan KWSP bagi majikan),” jawab Perdana Menteri itu ketika disoal wartawan selepas merasmikan Menara KWSP Kwasa Damansara, di sini hari ini.

Turut hadir adalah Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badli Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Anwar pada sambutan Hari Pekerja lalu berkata, cadangan untuk memotong caruman majikan sebanyak 20 peratus itu akan dibincang oleh kerajaan.

Perdana Menteri kesepuluh memaklumkan, cadangan berkenaan sudah dikemukakan tetapi belum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Cadangan itu didakwa sebagai langkah mengatasi kebimbangan kerajaan apabila 71 peratus pencarum KWSP aktif berusia 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang yang cukup untuk bersara di atas paras kemiskinan negara.

Keadaan ini dikatakan berlaku akibat empat pengeluaran khas KWSP yang dibenarkan semasa penularan wabak.

Menurut laporan media, Jabatan Perangkaan pada Februari lalu berkata kadar pengangguran negara menurun kepada 3.5 peratus iaitu sebanyak 591,000.

Bagaimanapun, jika kerajaan mewajibkan kenaikan caruman majikan sehingga 20 peratus angka pengangguran dikhuatiri melonjak mendadak.

Dijangkakan sejuta pekerja perusahaan makro, kecil dan sederhana (PMKS) dijangka diberhentikan jika cadangan meningkatkan bahagian caruman majikan bagi KWSP dilaksanakan.

Malah Pemangku Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, kos operasi PMKS dijangka melonjak jika kadar caruman KWSP bagi majikan benar-benar dinaikkan sehingga 20 peratus. – MalaysiaGazette