KUALA LUMPUR – Pita suara merupakan tisu penting dalam pertuturan, pernafasan, dan denyutan hidup selain menjadi instrumen hakiki sesetengah profesional seperti selebriti, pendidik dan juga pensyarah dalam kerjaya masing-masing.

Sempena Hari Suara Sedunia pada 16 April lalu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menganjurkan program yang memfokuskan isu penting tentang kesihatan dan keselamatan pita suara.

Program yang bertemakan Voice, The Pulse Of Life itu akan dilancarkan oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar di Dewan Tan Sri Lee Lam Thye, NIOSH, di Bandar Baru Bangi pada 20 Mei depan.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Prof Datin Dr. Marina Mat Baki berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai penjagaan pita suara dan faktor-faktor yang boleh merosakkan atau menyebabkan kanser pada organ penting tersebut.

Prof. Dr. Marina Mat Baki.

Tambah beliau yang juga Timbalan Dekan Fakulti Perubatan UKM (Rangkaian, Industri, dan Hal Ehwal Komuniti), pakar kesihatan yang mengambil bahagian dalam program itu akan berkongsi maklumat mengenai pelbagai jenis kerosakan pada pita suara dan rawatan sesuai.

“Melalui pelbagai aktiviti yang akan dijalankan, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran tentang isu berkaitan pita suara yang sepatutnya menjadi aspek penting dalam keselamatan pekerjaan.

“Pita suara adalah penting untuk pertuturan dan pernafasan yang merupakan denyutan hidup. Disebabkan itu, penyebaran maklumat yang efektif dan kreatif seperti ini adalah penting untuk memastikan bahawa masyarakat memahami langkah-langkah untuk menjaga pita suara mereka dengan berkesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Marina yang juga Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi UKM berkata, antara aktiviti yang dirancang termasuk pemeriksaan kesihatan pita suara, endoskopi, pameran, bengkel mengenai kesihatan dan keselamatan pita suara.

“Endoskopi membolehkan visualisasi struktur, pergerakan, dan getaran pita suara yang penting untuk didiagnosis dan mengenalpasti kesihatannya. Bengkel ini merangkumi aktiviti berkumpulan kecil yang bertujuan untuk melatih peserta melakukan pemanasan vokal dan mengajar mereka mengenai vocal hygiene yang penting untuk mencegah kecederaan pita suara semasa penggunaan yang berat seperti menyanyi, memberi ceramah, mengajar dalam kelas besar dan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam program satu hari itu juga, penyanyi terkenal dan jurulatih vokal, Datuk Shafinaz Selamat akan mengendalikan forum istimewa bertajuk Voice for Work and Work for Voice.

Barisan panelis lain terlibat adalah penyanyi dan jurulatih luaran NIOSH, Sham Visa; pelakon teater dan pensyarah vokal, Anne James dan Doktor Kesihatan Pekerjaan NIOSH, Dr. Muhamad Arif Muhamad Nordin.

Menurut Dr Marina, selain itu, NIOSH akan turut bekerjasama dengan UKM dan ASWARA untuk menjalankan penyelidikan, menyediakan khidmat rundingan dan membangunkan modul latihan yang turut mengambil kira kesihatan dan keselamatan peti suara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast