Ahli Parlimen Machang , Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan parti dalam Kerajaan Perpaduan menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada pilihan Raya negeri (PRN) Kelantan dan Terengganu tidak lama lagi.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan tersebut akan memudahkan PN menjelaskan kepada rakyat apa yang sedang berlaku antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Oleh demikian kami sangat gembira dan mengalu-alukan strategi tersebut. Tolong gunakan logo dacing untuk menjual PH dan BN.

“Kamu mahu datang ke Pantai Timur, tanah kuat Melayu, di situ kami akan sapu bersih semua kerusi itu, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Ketereh, Che Ibrahim Mohamed mencadangkan agar kerjasama antara PH dan BN dalam PRN akan datang dapat disepadukan dengan penggunaan satu logo.

Che Ibrahim berkata, pemimpin Kerajaan Perpaduan wajar melihat kemungkinan bertanding menggunakan logo BN untuk meningkatkan peluang dan penerimaan rakyat di Kelantan dan Terengganu.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, Bersatu tidak takut menghadapi lawannya itu dan yakin pemimpinnya bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa. – MalaysiaGazette