Gambar hiasan

PENULISĀ  ingin melontar dua soalan mudah yang sering ditanya selama 65 tahun ini yang jawapannya tidaklah susah. Secara jujur semua orang tahu jawapannya. Pemimpin juga tahu. Tetapi hampir semua pemimpin tidak berani menjawab dengan tegas, jujur dan terus terang. Apakah ada yang dibimbangi?

Apakah soalan tersebut? Satu, bagaimanakah cara untuk memartabatkan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini? Kedua, sudah lebih 65 tahun kita merdeka tetapi perpaduan rakyat Malaysia masih menjadi antara isu utama yang diperbahaskan dari semasa ke semasa selain isu pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Penulis pernah terlibat beberapa kali dengan meja bulat dan perbincangan tertutup anjuran Kementerian Perpaduan. Dalam perbincangan jelas banyak ahli panel berlegar-legar berbicara tentang hal umum atau terlalu mikro sehingga membincang aktiviti penduduk taman tanpa mahu menyentuh soal yang lebih mendasar atau pokok masalah. Penulis cuba juga mencuit seorang dua wakil dari NGO agama lain berbangsa Tionghua dan jelas beliau amat rasional dan bersetuju dengan pandangan penulis.

Tentang bahasa pula, semua orang tahu tentang perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan. Semua orang tahu urusan rasmi negara wajib menggunakan bahasa Melayu sama ada kerajaan, swasta dan setiap warganegara. Kita tidak boleh menafikan bahawa pendidikan juga merupakan tugas rasmi kerana berkaitan dengan pengajaran, pendidikan, pengurusan serta pentadbiran dan melibatkan urusan dalam institusi rasmi seperti sekolah, kolej dan universiti. Banyak juga yang tahu dalam kes saman di mahkamah baru-baru ini tentang keputusan hakim bahawa sekolah vernakular berstatus (?) bukan badan awam dan dengan demikian tidak terikat untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

Rayuan ke mahkamah lebih tinggi telah dibuat. Walaupun begitu sesuatu yang aneh telah berlaku, selama kira-kira 65 tahun ini, sejak merdeka sebenarnya semua perbelanjaan tahunan sekolah tersebut meliputi kos latihan gurunya, bayaran gaji dan emolumen, bayaran pencen guru dan staf, kos penyelenggaraan dan sebagainya ditanggung oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan sedangkan sepatutnya, jika sekolah vernakular bukan badan awam maka Kementerian tidak langsung terikat oleh undang-undang untuk membiayai secara tetap dan berterusan kerana statusnya sebagai badan swasta atau persendirian. Lagi pun institusi tersebut boleh dianggap tidak menghormati, tegasnya mengingkari undang-undang yang berkaitan dengan akta pendidikan, akta bahasa, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Perkara 152 Perlembagaan. Jika keputusan sebaliknya dibuat iaitu institusi tersebut diiktiraf sebagai badan awam, badan kerajaan, maka wajiblah ke atasnya mematuhi undang-undang dan akta berkaitan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan dan wajib diberi peruntukan yang sewajarnya oleh Kementerian Pendidikan. Memberi peruntukan secara berterusan pula kepada badan swasta dapat memberi isyarat jelas bahawa walaupun kamu melanggar undang-undang tidak mengapa, bantuan akan tetap diberikan dan kamu bolehlah terus “melanggar” undang-undang itu?. Adakah itu maksud sebenarnya dan wajar? Mengasingkan diri dengan “sistem” tersendiri dalam negara ini juga dapat menggambarkan sikap yang degil, angkuh dan sombong terhadap dasar pendidikan kebangsaan negara ini.

Bertambah angkuh lagi apabila jelas terlihat sikap mendesak dan kadang kala semacam mengugut untuk mendapatkan pembiayaan khasnya bagi sekolah persendirian sedangkan banyak lagi sekolah milik kementerian yang daif di pedalaman semenanjung, Sabah dan Sarawak yang patut didahulukan. Kementerian Pendidikan tidak patut bersikap seperti Mak Si Randang. Telah lama dan berkali-kali dicadangkan dan kini dicadang kembali secara jelas akan keperluan satu Dasar Bahasa Negara yang jelas dan tidak dibaca secara terpisah-pisah dalam pelbagai akta, peraturan berlandaskan Perkara 152 Perlembagaan. Ruang lompang dan percanggahan mudah berlaku. Dasar Bahasa Negara perlu digubal selari dengan segala akta yang wujud seperti Akta Bahasa, Akta Pendidikan dan lainnya termasuk pekeliling bahasa yang telah dilancar pada 2011 lagi tetapi lemah daripada segi pelaksanaannya. Antara perkara yang perlu diliputi dan ditegaskan kembali ialah:

i. Segala urusan rasmi dalam negara (domestik) seperti surat-menyurat, aduan, ucapan perasmian, seminar, persidangan, mesyuarat, temu bual media dengan pihak kerajaan, agensi kerajaan oleh pihak swasta dan rakyat negara ini wajib menggunakan bahasa rasmi sahaja. Hanya urusan dengan pihak luar negara, syarikat/agensi luar negara sahaja dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sahaja dan wajib disediakan terjemahan dalam bahasa Melayu sebagai iringan, lampiran untuk tujuan makluman, promosi, memperkenal bahasa Melayu. Jika menggunakan media elektronik, hanya sarikata terjemahan bahasa Inggeris disediakan.

ii. Di peringkat antarabangsa, bagi tujuan ucapan utama, perasmian, mewakili negara dalam persidangan, konvensyen, kongres, mesyuarat ucapan dan lain-lain wajib menggunakan bahasa Melayu dan salinan terjemahan ucapan, pembentangan dalam bahasa Inggeris dan satu bahasa lain jika “amat perlu” hendaklah disediakan dan diberi kepada setiap peserta sama ada dalam bentuk digital, audio dan sebagainya. Walau bagaimanapun ucapan atau pembentangan berselang-seli secara dwibahasa dibenarkan jika kemudahan terjemahan serentak tidak disediakan. Secara tidak langsung industri gajet dan industri terjemahan berkaitan bahasa Melayu dapat diperkembangkan dan bahasa Melayu dapat dipromosi di peringkat antarabangsa.

iii. Dasar Iklan Satu Bahasa juga wajib dilaksanakan sama ada iklan bercetak atau iklan digital bagi media rasmi dan media arus perdana. Jika amat perlu hanya iklan berbahasa Inggeris dibenarkan di samping iklan dalam bahasa rasmi. Di samping menjimatkan kos juga menyatukan pemahaman pengguna seluruh negara dan mengelakkan kekeliruan atau salah faham yang pernah berlaku.

iv. Para penggubal undang-undang di institusi mahkamah, pejabat peguam negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, kementerian dan jabatan kerajaan, majlis kerajaan tempatan hendaklah menganalisis dan meneliti peraturan, akta, undang-undang sedia ada yang “mengekang” pelaksanaan atau penguatkuasaan bahasa rasmi yang wajib dipinda dan diselaraskan dengan semangat Perkara 152 Perlembagaan demi kelicinan usaha memartabatkan bahasa Melayu di negara ini. Semoga dengan itu tidak lagi wujud lompang atau “loopholes” di mana-mana atau percanggahan dengan mana-mana peraturan antara institusi kerana telah diselaraskan.

v. Sistem pendidikan satu aliran sahaja yang menggunakan bahasa rasmi negara wajar dikuatkuasakan segera demi perpaduan sebenar rakyat Malaysia. Bayangkan sehingga kini Malaysia satu-satunya negara di dunia memiliki pelbagai aliran pendidikan (cacamarba?) dan satu kementerian perpaduan dan jabatan perpaduan di setiap negeri selama 65 tahun dengan anggaran kos belanjawan berpuluh juta setahun tetapi selama 65 tahun juga masih tetap “bergelut” dengan isu perpaduan yang tak sudah-sudah.

*Orang tua-tua sudah lama berpesan*. Kita yang degil dan sombong. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dari tahun satu lenturlah rebung itu. Bukan setelah menjadi buluh di kolej, universiti atau bekerja. Hidup terasing selama enam tahun di sekolah rendah, lima, enam tahun di sekolah menengah dan tiga tahun di kolej dan universiti dengan kelompok homogenous, mana mungkin bisa wujud persefahaman, erat umpama isi dengan kuku. Sebab itulah perpaduan sehingga kini terhad masa dan tempatnya, cuma di kulit, di warung kopi, roti canai dan padang bola. Tidak terserap hingga ke tulang.

Terimalah kebenaran dan hakikat ini walaupun pahit bahawa antara punca utama ialah wujudnya pelbagai aliran tersebut dalam sistem pendidikan di negara ini. Aliran vernakular yang berupaya memisahkan pemikiran, falsafah antara bangsa dan kaum yang wujud di sini. Juga wujud aliran melalui sekolah antarabangsa yang berupaya memisahkan antara golongan elit “anglophile” dengan majoriti rakyat desa dan kota yang masih adanya jati diri, falsafah kebangsaan dan cinta akan bahasa negaranya. Malah setelah PPSMI berjaya dimansuhkan, golongan “anglophile” berusaha dan berjaya “menyamarkan” program “Dual-Language Programme” (DLP) ke dalam Kementerian Pendidikan. PPSMI dan DLP sebenarnya serupa sahaja daripada segi objektif, matlamat dan pelaksanaan iaitu melibatkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Jika benar-benar yang mencadangkan dasar DLP ini jujur pastinya tidak dimulai dengan segala muslihat serta secara senyap-senyap. PEMANDU dan PADU bertanggungjawab tentang DLP ini kerana jelas DLP mampu memusnahkan upaya bahasa negara ini sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi. Program DLP ini wajib dimansuhkan serta-merta agar tiada lagi program lain yang seumpamanya menyelinap sepertinya.

v. Upayakan dan aktifkan segera agar Dewan Bahasa dan Pustaka terus menjadi kepala sekretariat iaitu Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan sedia ada dengan kuasa perundangan memimpin semua kementerian, jabatan, majlis kerajaan tempatan dan agensi kerajaan. DBP wajib berkuasa menegur, menasihat dan terakhir mendenda pihak yang degil walaupun kementerian dan jabatan kerajaan dan swasta sebagaimana pihak penguatkuasa yang lain seperti polis dan SPRM.

vi. Sistem penamaan di negara ini juga perlu punya citra dan jati diri negara ini yang membezakannya daripada negara lain di seluruh dunia. Ini meliputi penjenamaan bandar, desa, kompleks, segala produk dan serba-serbi yang membawa imej negara. Wajah negara ini tidak harus menjadi kembar dengan sebuah negara lain. Misalnya sudah tiba masa walaupun terlambat asalkan jangan tidak dibuat iaitu menukar nama bandar berwajah atau berbau asing kepada nama tempatan. Bayangkan banyak yang sudah pun melupai Jesselton, Port Weld, Maxwell Hill dan Teluk Anson tetapi mengenali Kota Kinabalu, Kuala Sepetang, Bukit Larut dan Teluk Intan. Justeru pemimpin kita wajib berani, tanpa berlengah lagi menukar nama seperti George Town misalnya kepada Tanjung atau Tanjung Penaga yang lebih dikenali oleh orang tempatan. Juga menukar Butterworth kepada Bagan, Slim River kepada Sg.Seling atau Tanjung Belit, Port Dickson kepada Tg.Arang atau Tg.Kemuning dan menukar juga nama Cameron Highlands, Bukit Fraser, Genting Highlands, Pulau Carey, Beaufort, Kg Morten, Bandar Sunway, Sunsuria City, Forest City, Langkawi Geopark dan lain-lain.

Maruah, jati diri dan sejarah negara lebih bernilai daripada segala yang lain. Pasukan polis juga eloklah kembali mempopularkan nama jawatan Penolong, Timbalan, Penguasa, Pesuruhjaya berbanding “asisten, deputi, supritenden dan komisioner. Tiada kurangnya pangkat jika bahasa Melayu digunakan. Lainlah halnya jika nama jawatan dalam bahasa Melayu buruk bunyinya atau memalukan. Malah penulis dalam satu kursus pernah difahamkan bahawa jawatan rasmi masih dalam bahasa Melayu(?). Jika benar ini adalah petanda yang baik. Untuk kegunaan di peringkat luar negara, bolehlah disebut nama jawatan dalam bahasa Inggeris atau ditulis bahasa Inggerisnya dalam bentuk kurungan.

Itulah antara beberapa cara yang wajib dibuat jika kita *benar-benar ikhlas dan mahu memartabatkan* bahasa negara sendiri. Jika tidak, maka melalaklah lagi generasi baru untuk masa hadapan kerana kita telah tiada lagi ataupun mereka mengambil jalan mudah sahaja dengan terus membisu.

Secara jujur sebenarnya telah ada usaha kecil atau besar sebelum ini oleh pemimpin negara yang mengangkat martabat bahasa negara. Cumanya secara terpencil, kecil-kecilan, sekali-sekala atau bermusim dan tidak disambut oleh para pemimpin seterusnya atas sebab-sebab tersendiri. Satu ketika dulu Tan Sri Razali Ismail, wakil tetap Malaysia, pernah berucap di PBB dalam bahasa Melayu. Terkini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri juga berucap di PBB. dalam bahasa Melayu.

Usaha begini cantik sekali diteruskan oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mana-mana majlis peringkat antarabangsa apatah lagi peringkat domestik. Lagi pun beliaulah satu-satunya pemimpin yang satu ketika dulu amat terkenal dan disanjung sebagai pejuang bahasa negara ini. Malangnya dalam beberapa majlis peringkat ASEAN juga pelancaran kereta nasional baru-baru ini beliau telah tidak menggunakan peluang terbaik untuk menggunakan bahasa rasmi negara. Adakah akan luntur kualiti Proton jika bahasa Melayu digunakan?. Sementelahan pula kita sedang berusaha agar bahasa Melayu dapat direalisasikan sebagai bahasa utama persidangan ASEAN selain Inggeris.

Jika bukan pemimpin kita, siapa lagi yang harus menjadi suri teladan bahasa?. Pastinya kita dan dunia amnya tetap mengetahui bahawa Perdana Menteri kita sekarang yang merupakan seorang cendekiawan yang cintakan ilmu dan pembacaan amat fasih berbahasa Inggeris sekalipun jika beliau memilih untuk berbahasa Melayu. Kefasihan beliau tidak pudar. Kefasihan pemimpin negara berbahasa Inggeris tentunya bukan alasan untuk meminggirkan bahasa Melayu khasnya dalam majlis rasmi walaupun di peringkat antarabangsa. Ular menyusur akan tak akan hilang bisanya. Lihatlah pemimpin negara besar dunia seperti Republik Rakyat China, Rusia, Jerman, Perancis, Korea, Jepun, Amerika dan lain-lain yang tetap berbahasa mereka walaupun dalam majlis antarabangsa. Pemimpin kita juga wajib berjiwa besar dan megah bahasa seperti mereka walaupun negara kita kecil. Tidak salah meniru amalan mulia mereka dan mana-mana pemimpin negara ini dan negara lain yang memartabatkan bahasa negara sendiri.

Kamal Shukri Abdullah Sani
Pengerusi Biro
Pembangunan Ummah dan Komuniti,
Majlis Perundingan Melayu (MPM)