KUALA LUMPUR – Penampilan penyanyi, Aina Abdul dengan imej berturban tinggi pada minggu kedua sebagai juri tetap program realiti Big Stage musim kelima mencuri perhatian netizen.
Menerusi foto di laman Instagram miliknya, Aina atau nama penuhnya Nurul Aina Abdul Ghani dikecam apabila fesyennya dikatakan agak mengganggu pandangan penonton yang duduk di belakang.
Pada masa sama, segelintir netizen meminta pasukan penata gaya menilai semula konsep digayakan Aina, 29, yang kadangkala dilihat agak keterlaluan.
Malah mereka berpendapat lebih baik sekiranya penyanyi lagu Sumpah itu tampil sederhana mengikut kesesuaian atau situasi dalam sesebuah acara.
Sementara itu, Aina memaklumkan pada mulanya turban tersebut lebih tinggi tetapi terpaksa dipotong sedikit demi keselesaan.
“Bila saya mencuba turban itu, saya percaya bukan saja netizen malah penerbit program pun akan kecam sebab itu kami potong sedikit.
“Saya akui turban yang digayakan itu berat kerana selepas peserta kelapan mengadakan persembahan, saya mula rasa tidak selesa dan sakit kepala,” katanya kepada Harian Metro pada sidang media selepas Big Stage berakhir.
Namun begitu, Aina berkata, dia dan pasukan memang melakukan perbincangan pada setiap minggu mengenai fesyen yang ingin ditampilkan. – MalaysiaGazette