Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

SHAH ALAM – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencadangkan agar Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri perlu diadakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, bulan depan.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bagi memastikan suasana politik di enam negeri terbabit lebih stabil dan perpaduan dalam kalangan akar umbi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat diterjemah lebih awal.

“Kalau boleh konvensyen ini sempat dan elok dilakukan di enam negeri yang akan ada PRN terlebih dahulu. Ini supaya akar umbi boleh menyatakan perpaduan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu.

“Jika ada cadangan itu, saya menyokong konvensyen peringkat negeri itu terutamanya enam negeri yang nak adakan PRN itu diawalkan supaya politiknya agar stabil di negeri-negeri yang berkaitan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ahad lalu, sebanyak 19 parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan mengadakan konvensyen buat julung kali dalam sejarah membabitkan dua blok politik terbesar antara BN dan PH di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Perdana yang disaksikan perwakilan yang mengenakan pakaian serba putih di Dewan Merdeka, WTC.

Ketika ditanya tentang sejauh mana konvensyen itu mampu menjamin kestabilan Kerajaan Perpaduan untuk tempoh 20 tahun akan datang, Ahmad berkata, aspek itu yakin dipertahankan dan akhirnya dirasai rakyat.

“Sebanyak 19 parti yang berada dalam Dewan Merdeka itu adalah lambang kestabilan, tidak pernah kita memiliki satu kerajaan yang begitu banyak parti, di dalamnya semua sekali seiya setakat.

“Mereka semua pakai baju putih, simbol kesucian apa yang ingin kita laksanakan. Kestabilan ini untuk rakyat, bukan untuk peribadi sesiapa

“Ini kerana apabila stabil, pelabur masuk, rakyat dapat kerja, negara maju, pulangan kembali kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast