Parti Bangsa Malaysia, Larry Sng

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang menolak semakan kehakiman dikemukakan Datuk Zuraida Kamaruddin agar beliau diiktiraf secara rasmi sebagai presiden parti itu.

Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, sekurang-kurangnya keputusan itu memberi kesan positif kepada PBM dalam landskap politik tanah air yang berkecamuk sejak kemasukan bekas menteri itu pada Mei tahun lalu.

Beliau menjelaskan, keputusan itu juga bermakna Zuraida dan tidak lagi ahli parti berkenaan sekali gus menamatkan krisis kewujudan dua kepimpinan dalam PBM.

“Dalam politik, kadang-kadang kita menang dan kadang-kadang kita kalah tetapi tidak bermakna kita kalah menjadikan diri kita seorang yang jahat. Tidak sama sekali.

“Sebaliknya, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau atas semua yang telah dilakukannya untuk membantu mempromosikan nama PBM walaupun beliau tidak lagi menjadi ahli parti,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak semakan kehakiman yang dikemukakan Zuraida agar beliau diiktiraf secara rasmi sebagai Presiden PBM.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh yang membuat ketetapan itu memutuskan mahkamah tidak mempunyai kuasa dalam permohonan bekas Ahli Parlimen Ampang itu.

Menurutnya, kehakiman tidak mempunyai kuasa untuk melihat isu melibatkan hal ehwal parti selaras dengan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Larry Sng berkata, selepas ini, PBM akan bergerak lebih ke hadapan tanpa penyertaan beberapa pemimpin, ahli dan penyokong yang dibawa Zuraida menyertai parti itu bersamanya.

“Parti tidak memerlukan bekas pemimpin (Ahli Parlimen dan ADUN) ini. Saya percaya PBM sedang berjalan pada landasan yang betul, baik dan bersih.

“Walaupun itu bermakna kita hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen buat masa ini, tetapi tahun 2004 pun parti PKR juga hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen dan hari ini mereka adalah kerajaan.

“Saya percaya PBM akan terus memberi impak dalam landskap politik Malaysia dan saya mengalu-alukan keputusan mahkamah hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah tolak permohonan Zuraida