KUANTAN – Seramai 40 pelajar orang Asli di negeri ini menunjukkan presrasi cemerlang dalam keputusan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) 2022 baru -baru ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sebanyak 4.80% daripada keseluruhan 729 calon orang Asli di negeri ini mendapat sekurang-kurangnya 5A.
Menurutnya, pencapaian ini menjadikan pelajar orang asli Pahang pelajar terbaik di seluruh negara.
Syed Ibrahim berkata, Nurul Atiqah Idus dari daerah Bentong menjadi pelajar orang Asli terbaik SPM 2022 negara selepas memperoleh 10A.
”Seorang mendapat 10A, 9A (2 pelajar), 8A (3 pelajar), 7 A (7 pelajar), 6 A (11 pelajar) dan 5A (16 pelajar). Dengan keputusan ini menjadikan pelajar asli Pahang menjadi pelajar orang asli terbaik seluruh Malaysia.
”Pelajar yang layak mendapat sijil pula seramai 547 calon dan tidak layak sijil hanya 182 calon,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan peningkatan taraf pendidikan mereka orang asli untuk memastikan mereka tidak tercicir.
Pelbagai pendekatan digemblengkan melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), Jabatan Pendidikan Negeri pahang (JPNP), Yayasan Pahang (YP) dan Pahang Orang Asli Corporation (Oraco).
”Kerajaan Negeri Pahang sememangnya mengambil berat soal pendidikan mereka. Dalam dasar Menteri Besar Pahang Dato Seri Wan Rosdy Wan Ismail sudah pasti seperti biasa akan mengiktiraf kejayaan mereka.
”Bukan sahaja dengan saguhati, bahkan membantu mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tunggi,” tambahnya.
Artikel berkaitan : SPM 2022: Pahang bangga MTNP antara 5 terbaik peringkat nasional
SPM 2022: 15 SMAN Pahang lulus 100 peratus
SPM 2022 : Pahang kekal prestasi cemerlang
Masyarakat Orang Asli Pahang dapat perhatian terbaik – Syed Ibrahim
Orang Asli Pahang terus terbela bawah BN – Wan Rosdy
Pahang tubuh Oraco bantu masyarakat Orang Asli
Keputusan SPM yang diumumkan pada Khamis lalu menyaksikan Pahang merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.57 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional 4.74 tahun ini.
Daripada 17,567 calon berdaftar pada sesi peperiksaan SPM 2022 di Pahang, 397 mendapat semua A berbanding 300 pelajar cemerlang tahun sebelumnya. -MalaysiaGazette