KUALA LUMPUR – UMNO perlu menerima kembali pemimpin-pemimpin parti yang dipecat serta digantung dan belum menyertai mana-mana parti lain.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar yang berpandangan UMNO memerlukan kekuatan untuk kembali menjadi sebuah parti yang boleh diterima semula oleh rakyat secara keseluruhan.
Katanya, UMNO tidak boleh lagi berpecah dan segala sengketa serta pergeseran perlu dihentikan demi kemaslahatan dan kesejahteraan parti.
“Saya minta mana-mana pemimpin kita yang dipecat ataupun digantung, yang terus menyokong kita dan setia, diterima kembali.
“Kita sudah tidak mampu lagi berpecah, sudah, cukup-cukuplah, buang yang keruh ambil yang jernih, baru teguh peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Mohd Kurniawan Naim yang juga Bendahari Pemuda UMNO Malaysia mahu semua yang berada di atas pentas pada perhimpunan itu borkongsi kasih demi masa depan parti.
Katanya, beliau yakin semua yang hadir dan menyaksikan perhimpunaan itu memiliki pandangan sama seperti dirinya.
Terdahulu, dalam ucapannya sebelum itu, beliau mahu semua ahli UMNO mengikhlaskan diri untuk parti.
Ujarnya, selagi hayat dikandung badan, barisan Pemuda akan terus menjadi benteng hadapan dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Tambah beliau, Pemuda mengutamakan ketaatan serta kesetiaan dan semua itu dilakukan demi memastikan parti tercinta ini akan terus dapat menabur khidmat kepada rakyat. – MalaysiaGazette