Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan kepimpinan selepas penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkongsi pengalaman bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Katanya, dalam pertemuan itu beliau telah bersarapan bersama dengan menikmati makanan kegemaran bekas perdana menteri itu yang dibawanya.

Menurut Ahmad Zahid, kunjungannya ke penjara tersebut ditemani ahli Majlis Kerja tertinggi (MKT) yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

“Saya ingin melaporkan saya sendiri telah bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak dan melawat beliau dalam penjara.

“Saya sempat bersarapan dengan beliau dan saya bawa semua makanan-makanan kegemaran beliau untuk kami makan bersama.

“Sekarang beliau sedang meneruskan pengajian PHd (Ijjazah Doktor Falsafah) dalam Penjara Kajang,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Menceritakan lanjut, Ahmad Zahid berkata, selepas setengah jam Shamsul Anuar telah meninggalkan mereka berdua dan beliau kemudiannya berbincang empat mata dengan bekas ahli Parlimen Pekan itu selama satu jam 30 minit.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, tidak perlu beliau memberitahu intipati yang dibincangkan.

Katanya, nasib Najib tetap akan dibela agar keadilan dapat diberikan kepadanya.

“Insya Allah, komitmen Majlis Tertinggi (MT) yang mendapat mandat daripada rakan-rakan di peringkat bahagian dan cawangan…yakinlah bahawa majlis tertinggi terus komited untuk membela Najib Razak supaya diberikan keadilan,” ujarnya. – MalaysiaGazette