Nik Saiful Adli Burhan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang menyeru seluruh umat Melayu untuk menyertai perjuangan Pas bersama beliau sudah dijangkakan dari awal lagi.

Kenyataan sedemikian sudah pun menjadi skrip standard yang harus dibacakan oleh ahli baharu Pas yang melompat daripada parti lain.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh, Nik Saiful Adli Burhan berkata, bukan sahaja Annuar bahkan pemimpin lain yang masuk Pas juga menyeru perkara sama.

“Ini belum termasuk lagi skrip menghentam parti asal yang mereka tinggalkan, juga saya percaya ada dalam silibus ahli baharu Pas.

“Namun agak menarik ialah apabila Annuar menyatakan UMNO gagal memimpin dan menyatukan orang Melayu yang mana beliau buat perbandingan dengan Pas yang kononnya lebih jujur dalam perjuangan.

“Ramai tidak tahu sejarah kerjasama Pas dengan parti lain sejak di awal kemerdekaan lagi dan sehingga hari ini, tidak ada pasukan kekal dengan Pas atau berakhir dengan perbalahan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Nik Saiful Adli, Pas pernah bersama Parti Perikatan dan Barisan Nasional (BN) dari 1972 hingga 1978 tetapi akhirnya meninggalkan gabungan itu sedangkan yang lain kekal.

Pas juga, katanya, pernah bergabung membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990 termasuk bekerjasama dengan parti lain dalam Gagasan Rakyat seperti DAP dan Parti Rakyat Malaysia, namun akhirnya keluar semula.

“Selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999, Pas mengambil kesempatan membuat gagasan baru dinamakan Barisan Alternatif (BA) bersama penyokong PKR, kesudahannya gagasan ini turut ditinggalkan oleh Pas.

“Pas sekali lagi bersama dengan sebahagian besar pasukan dalam BA yang dahulu membentuk Pakatan Rakyat (PR) pada 2008. Pada pilihan raya seterusnya selepas keluar daripada BA dan berbentuk Gagasan Sejahtera bersama parti Ikatan pada 2016.

“Selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU ke-13, Pas kembali bersama UMNO membentuk Muafakat Nasional (MN), kemudian sekali lagi tinggalkan UMNO untuk membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama parti Bersatu,” katanya.

Beliau berkata, sejarah itu pasti semua orang masih ingat yang mana ketika itu Annuar adalah Setiausaha Agung BN.

Katanya, melihat kepada sejarah perpecahan yang dilalui parti itu melalui pelbagai gabungan, adakah itu yang dimaksudkan Annuar kononnya Pas berjaya menyatukan orang Melayu?

“Adakah sejarah ini boleh dijadikan contoh dan teladan agar dapat diulangi pada masa akan datang oleh generasi Melayu yang bakal memimpin negara?

“Atau pun hendak dibandingkan dengan sejarah UMNO yang sebelum merdeka lagi membentuk kerjasama dalam Parti Perikatan, yang seterusnya bertukar nama kepada BN sehingga kini kekal bersama hampir semua parti komponen asal?

“Annuar sendiri lebih 30 tahun memimpin UMNO di pelbagai peringkat. Beliau sendiri tidak pernah berniat untuk meninggalkan parti ini melainkan setelah dipecat daripada keahlian,” ujarnya.

Kata Nik Saiful, jika benar dakwaan Annuar, UMNO tidak relevan, pasti beliau sendiri tidak akan menunggu puluhan tahun setia bersama parti  orang Melayu itu.

“Seandainya beliau menyatakan kepimpinan UMNO gagal memimpin orang Melayu, bukankah beliau sendiri merupakan sebahagian daripada pemimpin UMNO sebelum ini?” soalnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Annuar mahu orang Melayu angkat Pas sebagai teras perjuangan ummah

1 Komen

  1. Eloklah tu. Belajarlah pakai serban dan simpan janggut sebagai lambang dan identiti parti.

Comments are closed.