SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) diyakini masih kekal memerintah Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini berdasarkan sumbangan kerajaan itu kepada rakyat sejak 2008.
Sungguhpun begitu, menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, pihaknya tidak boleh memandang rendah usaha dan ikhtiar parti lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) yang beriya mahu menawan negeri itu.
Jelas beliau, dengan kekukuhan PH peringkat persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu- Selangor dijangka masih kekal dengan kesinambungannya sebagai kerajaan negeri.
“Berkenaan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, itu strategi mereka. Kita (pernah) berdepan dalam PRU15 dan akan berdepan dengan beliau pada PRN ini.
“Saya percaya dengan kekukuhan kita pada PRU15, majoriti kerusi masih dimenangi PH menunjukkan kubu kita masih lagi kukuh di Selangor.
“Namun kita tidak memandang rendah usaha dan ikhtiar mereka sebab itu dari semasa ke semasa sama ada fizikal aktiviti sampai ke media sosial, kita pertingkatkan usaha penerangan dan penjelasan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas sempena lima tahun pentadbiran kerajaan PH Selangor di Foyer SUK, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Turut hadir, semua anggota Exco dan pentadbir Kerajaan Negeri.
Beliau berkata demikian mengenai pelantikan Mohamed Azmin sebagai Pengerusi PN Selangor dan menjadi pengharapan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar bekas Ahli Parlimen Gombak itu memberikan “hadiah” kemenangan kepada gabungan itu dalam PRN ini.
Menurut Amirudin, banyak program telah dilaksanakan sejak beliau memegang jawatan Menteri Besar lima tahun lalu dapat dinilai oleh rakyat untuk terus mengekalkan kerajaan PH.
Ujar beliau, sejak mengambil alih negeri itu pada Jun 2018, beliau dan pimpinan negeri, rakyat serta penjawat awam telah melalui jalan berliku, penuh dengan cabaran hebat yang belum pernah dilalui mana-mana pentadbiran sebelumnya.
“Namun saya sangat kagum dengan semangat kekitaan dan perpaduan serta kecekalan yang ditunjukkan oleh setiap daripada hampir tujuh juta warga dan rakyat Selangor.
“Semangat ini membolehkan kita bangkit bersama menentang dan berdepan dengan cabaran itu,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai cabaran telah lalui bersama iaitu krisis kesihatan apabila negara dan dunia khususnya ditimpa pandemik Covid-19.
Ini ditambah dengan ketidakstabilan kerajaan Persekutuan akibat tindakan tidak bertanggungjawab sekumpulan mereka yang rakus dan gelojoh, selain cabaran ekonomi yang disebabkan inflasi melanda seluruh dunia.
“Kita berdepan dengan krisis bertimpa termasuk ujian banjir besar pada akhir tahun 2021, tetapi dengan semangat Kita Selangor, kita berjaya bangkit dan membuktikan pentadbiran kita adalah pentadbiran teruji, tahan uji dan terbukti berjaya membela rakyat.
“Apabila saya menyantuni rakyat, saya yakin Selangor berada di landasan yang tepat dan jauh lebih baik serta semakin maju berbanding dengan tempoh pentadbiran sebelum 2018,” katanya. – MalaysiaGazette