Armin Baniaz Pahamin (tengah)

KUALA LUMPUR – Cadangan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) supaya dasar monetari Malaysia diperketatkan lagi dikhuatiri akan membebankan lagi keperitan rakyat dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan kadar inflasi yang tinggi.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berkata, sebarang kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) bukan sahaja akan membebankan rakyat tetapi juga syarikat khususnya sektor mikro, kecil dan sederhana.

Malah, majoriti rakyat dan syarikat mikro, kecil dan sederhana dibelenggu pinjaman yang tinggi dan amat sensitif kepada pertukaran kadar faedah pinjaman.

Menurutnya, kenaikan kos akibat dari kadar faedah yang meningkat akan menaikkan lagi harga perkhidmatan dan/atau produk, mengakibatkan operasi sesetengah syarikat akan terjejas apabila tidak dapat meneruskan kontrak pembekalan dengan kenaikan kos tanpa persetujuan untuk menyemak semula nilai kontrak, sekali gus boleh mendorong kepada tahap inflasi yang meninggi.

Jelasnya. sumber hasil negara boleh ditingkatkan melalui sumber pendapatan negara yang lain seperti hasil duti eksais dan levi pekerja tanpa membebankan rakyat.

Sebaliknya, kerajaan boleh mengetatkan lagi penguatkuasaan barangan seludup dan levi pekerja asing yang semakin berleluasa.

“Kerajaan kerugian besar akibat dari barang yang di seludup masuk secara haram. Kerugian hasil negara dari penyeludupan rokok sahaja dianggarkan bernilai RM6 bilion tidak termasuk penyeludupan ubat-ubatan, minuman keras dan lain-lain.

“Walaupun jumlah pekerja asing yang berdaftar melebihi 2.1 juta tetapi jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) dianggarkan mencecah 1 juta dan ini bukan sahaja menjejas hasil negara tetapi juga bersangkut paut dengan masalah ekonomi, sosial, keselamatan dan ketenteraman.

“Kerajaan mengalami kerugian besar dari hasil cukai pendapatan, levi dan ekonomi haram yang di jana oleh PATI. Levi adalah salah satu dari lima sumber perolehan daripada cukai yang boleh dipertingkatkan untuk menambah hasil negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Armin menambah, pendapatan dari cukai yang tertinggi adalah dari cukai yang dikenakan ke atas keuntungan syarikat, justeru kerajaan harus terus mengutamakan dasar-dasar yang lebih mesra dan memperkasakan syarikat dan perniagaan.

Apabila syarikat berdaya saing dan maju, hasil kerajaan akan bertambah.

Jelasnya, dasar-dasar yang melemahkan syarikat seperti gaji minima, gaji progresif, penarikan subsidi, kenaikan kadar faedah pinjaman harus diteliti halus sebelum di laksana dan dikuatkuasa.

Apatah lagi, sektor swasta masih belum pulih sepenuhnya dari kesan pandemik.

“Apabila keuntungan atau kos operasi syarikat terjejas, pekerja adalah golongan pertama yang akan terjejas apabila syarikat mula `downsizing’. Apabila syarikat terpaksa dikecilkan dan pekerja diberhentikan, hasil negara dari cukai pendapatan juga akan terjejas.

“`Snowball effec’ akan menjejas ekonomi negara dari perbagai aspek,” ujarnya.

Kebelakangan ini syarikat gergasi Panasonic Manufacturing Berhad juga telah mengecilkan (downsizing) operasi di Malaysia dengan menutup dua kilang di Shah Alam.

Begitu juga rangkaian kedai buku Borders yang telah menutup terus operasi di Malaysia.

“Ini adalah isyarat jelas dasar ekonomi negara tidak berjaya mengekalkan permintaan,” katanya sambil bersetuju dengan pandangan IMF berkenaan dengan belanjawan tahunan Kementerian Kewangan tidak selari dengan hasrat dan keperluan Rancangan Malaysia ke 12 (RM12).

Menurut Armin, sejak beberapa tahun lepas, belanjawan tahunan kurang berkait dengan perancangan untuk menjayakan RMK12 dan ini adalah amat penting untuk pembangunan dan masa depan negara.

Tegasnya, satu formula tidak boleh di guna pakai untuk semua negara dengan mengambil kira. Malaysia adalah unik dan mempunyai masalah tersendiri, berbeza dan masalah yang paling utama negara ini ialah dari segi kepimpinan dan struktur ekonomi berbanding dengan negara-negara lain. – MalaysiaGazette