Isham Jalil hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang pertama selepas parti tersebut selesai mengadakan pemilihan di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil memberi saranan agar Kerajaan Perpaduan segera membincangkan isu kejatuhan ringgit.

Jelasnya, kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan campur tangan mengenai isu kejatuhan ringgit dan pasaran modal adalah sesuatu yang tidak tepat kerana kerajaan mempunyai pelbagai cara bagi mempertahankan ringgit dan bukan hanya dengan menggunakan rizab.

“Rafizi kata kerajaan tidak bincang lagi pun tentang sama ada kerajaan akan campur tangan untuk mempertahankan ringgit. Dia kata kita bukan ada banyak rizab pun untuk mempertahankan ringgit.

“Saranan saya, kerajaan perlu bincang segera. ringgit sudah lama jatuh dan terus jatuh dan ini memberi kesan buruk kepada kenaikan harga barang dan makanan yang banyak bergantung kepada import,” katanya dalan satu kenyataan, hari ini.

Isham berkata demikian mengulas laporan media mengenai kenyataan Rafizi bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan campur tangan mengenai isu kejatuhan ringgit dan pasaran modal.

Semalam, Rafizi berkata,  tiada sebarang perbincangan dibuat oleh kerajaan untuk terbabit secara terus dalam mengimbangi kejatuhan pasaran modal dan ringgit yang mencetuskan kebimbangan banyak pihak pada masa ini.

Menurutnya, kerajaan melihat setiap campur tangan bagi menyokong pasaran modal dan ringgit akan membabitkan kos yang besar, yang mana dana itu sepatutnya disalurkan kepada keperluan rakyat dan pembangunan ekonomi Malaysia.

Mengulas lanjut, Isham berkata, sebagai kerajaan adalah tidak munasabah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak berbuat apa-apa tentang kejatuhan mata wang negara.

“Perlu bincang segera, takkan kerajaan ingin biarkan ringgit jatuh begitu sahaja, Rafizi?

Terdahulu, Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menasihatkan Anwar supaya membubarkan sahaja Kementerian Ekonomi yang diterajui Rafizi.

Dakwa beliau, Kementerian Ekonomi langsung tidak berkesan dalam merencanakan ekonomi negara kerana tiada perubahan sejak ia dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ringgit direkodkan pada paras RM4.64 bagi satu dolar Amerika. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast