PASIR GUDANG – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan terdapat syarat ketat bagi permohonan biasiswa atau pinjaman pendidikan dilaksanakan menyebabkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih tidak melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, malah pelbagai kemudahan dan tawaran biasiswa disediakan bagi mengurangkan bebanan pelajar ketika melanjutkan pelajaran di IPT.

Beliau berkata, pelajar yang layak dan ingin melanjutkan pengajian ke IPT boleh memohon bantuan pinjaman termasuk daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Pertama yang sudah kita perkenalkan ialah Program Pembangunan Siswa Sulung Berikan Pendidikan Percuma. Seramai 10,000 pelajar daripada kumpulan B40 yang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi terkecuali daripada membayar yuran di universiti awam.

“Untuk PTPTN, permohonan akan tengok pada gaji pendapatan ibu bapa pelajar, itu sahaja. Saya fikir pelajar yang tak nak masuk itu mungkin yang tak lulus daripada tingkatan atau tak cukup kelayakan.

“Minta mereka masuk dahulu dan tengok sama ada dia boleh dapat pinjaman atau tidak,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan (PSI), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya, Nur Nazirah Abdullah bahawa syarat ketat pembiayaan menyebabkan ramai lepasan SPM memilih tidak melanjutkan pengajian mereka ke IPT.

Jelasnya, faktor utama mereka tidak mahu menyambung pelajaran adalah kerana mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.

Selain syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dengan pelajar sekurang-kurangnya mendapat 9A+ atau A dalam peperiksaan SPM untuk memohon tajaan secara tidak langsung akan mengurangkan minat mahasiswa.

Ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengadakan perbincangan dengan KPT mengenai kelonggaran IPT untuk mengadakan konsert ‘kecil dan terkawal’ dalam kampus, beliau memberitahu, penganjuran konsert di IPT bukan perkara baharu.

Menurut Khaled, pengurusan IPT wajar melakukan kajian dan penilaian terlebih dahulu terutama perbincangan melibatkan bahagian hal ehwal pelajar untuk melihat sejauh mana penganjuran sesebuah konsert itu berisko atau boleh menjadi tidak terkawal. -MalaysiaGazette