program kecoh Syed Saddiq
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memilih untuk bertanding solo dalam pilihan raya di enam negeri.

Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan keputusan tersebut hari ini dalam satu sidang media.

Bagaimanapun tanpa ahli akar umbi dan jentera yang kuat sukar untuk MUDA memenangi sebarang kerusi.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, berdasarkan keputusan pilihan raya umum lalu beliau melihat parti itu tidak mempunyai sebarang harapan untuk menang sebarang kerusi.

MUDA menurutnya, tidak mampu memberi sebarang cabaran sama ada kepada parti Kerajaan Perpaduan mahu pun Perikatan Nasional.

“Pengundi ini datangnya dari ahli parti dan tidak ada data jelas berapa banyak ahli dalam MUDA. Kalau kita hendak lihat dalam UMNO mereka ada 3.6 juta ahli. Tapi MUDA ini berapa ahlinya? Tidak jelas?

“Parti-parti seperti ini mendapat undi berdasarkan simpati masyarakat atau pengundi.

“Kalau kita lihat Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan di mana peluang MUDA mendapat tempat saya tidak nampak,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.

Dr. Jamaie Hamil.-Foto HAZROL ZAINAL.

Malah menurut beliau, berdasarkan keputusan PRU lalu MUDA tidak mendapat sokongan undi 18 seperti yang diharapkan dan calon parti itu hanya menang satu kerusi iaitu Parlimen Muar tempat Syed Saddiq bertanding.

Jamaie berpendapat, keputusan MUDA untuk bertanding sendirian disebabkan pemimpin parti itu merasakan mereka tidak diberikan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan.

“Mungkin mereka terasa hati kerana tidak dibawa dalam mana-mana rundingan dengan Kerajaan Perpaduan sekarang ini lalu mereka mengambil sikap sedemikian.

“Rundingan dengan gabungan Kerajaan Perpaduan tidak memberikan mereka mana-mana kerusi lalu kalau bertanding sendiri maka mereka boleh meletakkan calon di mana sahaja,” katanya.

Jamaie berpandangan, tindakan yang diambil oleh MUDA untuk bertanding secara solo dan akan memberi impak negatif kepada MUDA dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dalam gabungan itu mungkin ada syarat-syarat tertulis dan tidak tertulis. Salah satu daripadanya jika ada parti gabungan yang bertanding sesama sendiri dalam pilih raya sudah tentu jadi parasit. Sebaiknya mereka berpisah untuk mencari haluan masing-masing,” kata beliau.

Menurutnya dengan hanya satu kerusi di Dewan Rakyat parti MUDA tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk ‘tawar-menawar’ dengan Kerajaan Perpaduan.

Awang Azman Awang Pawi

Sementara itu, penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pengumuman Syed Saddiq  hanya sebagai strategi supaya MUDA diberikan kerusi pada pilihan raya negeri (PRN).

“Saya kira kenyataan ini peringkat awal. Bila perkara itu mendapat reaksi daripada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mereka akan mengubah pandangan tersebut. Taktik mereka untuk mendapatkan tempat dalam mana-mana kerusi untuk bertanding,” jelas beliau.

Namun menurut beliau tindakan MUDA bukanlah langkah yang bijak, sebaliknya memperlihatkan parti itu bersifat gelojoh dan beremosi.

Awang Azman meramalkan sekiranya MUDA bergerak sendirian parti itu tidak akan memberi sebarang cabaran sama ada kepada Perikatan Nasional mahupun parti Kerajaan Perpaduan.

“Saya kira impak kepada PH dan PN kurang. Impak kepada MUDA sendiri nampak MUDA ini gelojoh, tidak berpandangan jauh. Tidak ada perancangan strategik untuk menangani isu yang kecil ini.

“MUDA dijangka tak akan beri impak besar kalau mereka bertanding. Sebab dari segi jentera dan akar umbi mereka tidak banyak.

“Terlalu bergantung di kawasan bandar. Bandar ini dikuasai oleh Pakatan Harapan. Jadi tidak membantu. Tindakan yang beremosi dan tidak matang,” katanya.

Beliau menjangkakan Kerajaan Perpaduan tidak akan mengambil tindakan terhadap MUDA pada waktu ini namun akan menyingkirkan MUDA ketika pilihan raya umum nanti.

“Saya kira bukan disingkirkan (sekarang) mungkin lebih selepas PRU mereka tak akan bekerjasama. Sekarang mementingkan perpaduan mungkin parti-parti akan bersabar tetapi waktu PRU sebenar MUDA tidak akan dipertimbangkan sebagai sekutu,” kata Awang Azman. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. belum tentu lagi muda tak menang . aku kalau ada tiga parti ph. pn dan muda pasti aku akan pilih muda . aku cukup menyampah dengan parti yang gila kuasa terutama parti ulamak Islam . aku mungkin tak keluar mengundi nanti .

Comments are closed.