kuasa politik Melayu Anwar Pejuang GTA
Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak perlu menasihati Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah lama berjuang memperkasakan rakyat di negara ini.

Malah Syed Saddiq dianggap masih lagi mentah dan muda jika hendak dibandingkan dengan perjuangan bekas Perdana Menteri itu sejak lebih 80 tahun.

Menurut Pengerusi Biro Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Khairuddin Abu Hassan, Dr Mahathir jauh lebih konsisten dalam perjuangan beliu khasnya untuk orang Melayu selama ini.

“Syed Saddiq tak perlulah nasihatkan Tun Mahathir dalam isu perjuangan bagi memulihkan semula maruah dan kekuatan bangsa melayu.

“Selama 22 tahun dahulu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia walaupun melaksanakan agenda kearah memajukan anak bangsa beliau tidak pernah menganiayai hak-hak kaum-kaum lain di negara kita.

“Di bidang ekonomi kaum-kaum lain maju secara amat menyerlah dan saya hendak tanya Syed Saddiq pernahkan Tun Dr Mahathir Mohamad menganiayai sesiapa pun di negara kita.

“Malahan, kaum-kaum lain kuat menyokong Tun Dr Mahathir ketika memimpin negara dahulu. Semua kaum telah mengecapi nikmat pembangunan yang begitu besar dari dasar-dasar pentadbiran beliau pada masa itu,” katanya dalam kenyataan.

Khairuddin mengulas tindakan Syed Saddiq yang sering dikaitkan sebagai anak didik Dr Mahathir menulis dalam Twitter semalam supaya negarawan itu menghentikan politik lapuk yang menyebabkan perpecahan.

Syed Saddiq berkata demikian susulan laporan media yang memetik Dr Mahathir mendakwa segelintir golongan bukan Melayu mahu menukar ‘nama dan pemilikan’ Malaysia.

Kata Khairuddin lagi, adalah tidak salah untuk bercakap tentang agenda menyatupadukan semua pemerkasaan bangsa Melayu secara total.

“Walaupun semangat melayu Tun Mahathir amat kuat tetapi dalam masa yang sama senantiasa menasihati semua pihak untuk menghormati hak-hak kaum-kaum lain sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Hakikatnya, Tun Mahathir tokoh pemimpin melayu yang senantiasa menyayangi semua kaum- kaum di tanahair yang tercinta ini.

“Sebab itu pada PRU tahun 1999 bila orang-orang melayu salah sangka dengan isu pemecatan Anwar Ibrahim tetapi para pengundi dari kaum-kaum lain secara konsensus menyokong serta mengundi Barisan Nasional secara padu ketika itu,” tegasnya.

Kata Khairuddin lagi, beliau hormat kepada pandangan Syed Saddiq namun pada masa berharap bekas menteri itu tidak lupa kepada sejarah politiknya.

“Jangan lupa sejarah bahawa Tun Mahathir yang mengacukan kareer politiknya ketika beliau mula membabitkan diri dalam gerakan Deklarasi Rakyat pada suatu ketika dahulu.

“Kenyataan Syed Saddiq yang menyanggah gerakan Proklamasi Orang Melayu sebagai untuk memecah-belahkan di antara kaum-kaum sebagai persepsi melulu tanpa asas yang kukuh.

“Perjuangan ‘multi racial’ Syed Saddiq itu adalah hak beliau tetapi dalam masa yang sama Syed Saddiq kena hormati wadah perjuangan Proklamasi Orang Melayu Tun Mahathir Mohamad,” ujarnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Din, dia mentah2 pun menang pru15.. hang bukan shj kalah tp hilang deposit.. so sape yg mentah?

Comments are closed.