Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Menteri yang didakwa mengakibatkan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu melepaskan jawatan.

Bekas menteri Kabinet Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan imej kerajaan yang mahu mempraktikan pentadbiran terbaik akan tercalar.

Khariy turut memuji Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang mendesak supaya menteri berkenaan dilucutkan jawatan.

“Rancangan ‘mengarut’ apa ini? Menteri hadir dan membebaskan seseorang yang ditahan oleh imigresen? Saya bertaruhan tiada ada apa-apa tindakan selepas penyiasatan.

“Syabas Ketua Pemuda UMNO Akmal Saleh. Jika benar menteri yang terlibat mesti pergi. Apa-apa yang kurang akan dilihat sebagai kegagalan kepada kerajaan yang mendakwa mempraktikkan tadbir urus yang baik,” kata Khairy melalui Instagram Story.

​Media melaporkan, tular di media sosial seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.

Dalam kejadian petang semalam itu, menteri terbabit didakwa masuk ke dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan dan dipercayai bertindak sedemikian bagi ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang tidak dibenarkan memasuki negara ini sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan.

Memetik laporan Bebas News, menteri berkenaan ke KLIA apabila mendapat tahu mengenai kejadian itu dan memasuki ke dalam dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan.

Menurut laporan yang memetik sumber berkata, apabila tindakannya cuba dihalang, beliau menggunakan kuasa sebagai menteri termasuk memarahi Polis Bantuan KLIA dan pegawai imigresen.

Akmal dalam kenyataannya berkata, tidak ada sesiapa mengatasi undang-undang termasuk mentri.

“Tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang, waima siapa dan apa sekali pun jawatan kamu.

“Saya mohon untuk YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk mengambil tindakan terhadap kelakuan menteri yang tidak wajar ini.

“Seharusnya dilucutkan jawatan sebagai menteri kerana perbuatannya sama sekali tidak boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Media terbabit melaporkan, ia adalah kali ketiga menteri itu melakukan tindakan demikian membabitkan pelawat yang ditahan daripada memasuki negara. – MalaysiaGazette