Declan Rice. Foto BBC.

LONDON – Kapten West Ham, Declan Rice bakal melangkah keluar apabila pemain itu akan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum melengkapkan perjanjian bernilai £105 juta (RM621 juta) ke Arsenal.

Kedua-dua kelab London itu mencapai persetujuan susulan kemelut perpindahannya berikutan tawar-menawar mengenai struktur pembayaran £100 juta (RM592 juta) pertama menerusi tiga ansuran dalam tempoh 24 bulan.

Rice juga bakal menerima gaji minimum £250,000 (RM1.48 juta).

Pada masa sama, Arsenal kini membenarkan Granit Xhaka untuk berpindah ke Bayer Leverkusen dengan harga £21.5 juta (RM127 juta) sebaik Rice sah menjadi milik mereka.

Rice bukan pemain pertama hadir di Emirates pada musim panas ini dengan pengurus Mikel Arteta turut menambah bintang Jerman, Kai Havertz dalam senarai pemain tengahnya.

The Gunners berbelanja £65 juta (RM385 juta) untuk membawa Havertz dari Chelsea dan dia dijangka membentuk gandingan baharu di tengah bersama Rice dan kapten, Martin Odegaard.

Odegaard dijangka mengulangi peranannya di sebelah kanan selepas mempamerkan aksi cemerlang pada musim 2022-23.

Rice pula akan bermain sebagai pemain pertahanan tengah dengan Havertz dan Odegaard di kiri dan kanannya.

Pemain tengah England itu menghabiskan keseluruhan kariernya bersama West Ham, muncul daripada skuad belia sebelum membuat 245 penampilan bagi pasukan senior.

Dia juga beraksi 43 kali dengan negaranya, memainkan peranan penting dalam perjalanan pasukan itu ke final Euro 2020. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast