Enam suspek lelaki direman sejak Khamis lalu selepas disyaki terlibat dalam aktiviti judi dalam talian.

MELAKA – Polis Melaka menumpaskan sindiket judi dalam talian susulan penahanan enam lelaki di Kompleks Perniagaan Kota Shah Bandar, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun itu di tahan kira-kira pukul 3.30 petang hasil maklumat awam dan risikan.

Menurutnya, dalam pemeriksaan, polis merampas lapan telefon bimbit serta 53 unit set komputer yang mempunyai unsur perjudian dalam talian.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku bekerja di pusat utama operasi penyediaan peralatan, perkakas dan set komputer di daerah ini yang terlibat aktiviti perjudian dalam talian.

“Mereka ditugaskan setiap hari tanpa cuti bermula pukul 10 pagi hingga 6.30 petang dengan mendapat gaji RM3,500 sebulan daripada suspek berusia 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, kesemua mereka direman empat hari bermula Jumaat sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast