Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, (GB4B) Datuk MohdvRidhwan Mohd Ali

MELAKA – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan lima tahun lalu perlu dihidupkan semula bagi mengelakkan belia terjerumus ke dalam penagihan dadah.

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4B), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, ketiadaan program jati diri berskala besar dilihat antara faktor mendorong berlakunya gejala sosial terutamanya dadah ke tahap membimbangkan.

“Khidmat negara ini adalah satu program yang baik sebenarnya untuk menanam jati diri kebangsaan dalam jiwa orang muda (dan) kalau boleh eloklah ia diwujudkan semula.

“Saya melihat (PLKN) ini satu usaha yang baik untuk memperkasa semangat mereka dan di sana banyak kita boleh memberikan input-input dan juga motivasi kepada belia ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan kerajaan terhadap peningkatan jumlah penagih di negara ini yang kini berjumlah 1.09 juta orang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid HamidiĀ  dilaporkan berkata, daripada jumlah tersebut, 1,051,712 adalah lelaki dan 45,696 wanita.

Tambahnya, lebih menyedihkan apabila dapatan satu kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2020 menunjukkan setiap 100 orang belia di negara ini, 6 orang mengaku pernah mengambil dadah, manakala 4 orang mengaku masih aktif mengambil dadah pada tempoh kajian dijalankan pada 2022.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, adalah amat membimbangkan apabila daripada jumlah itu, sebahagian besar penagih dadah iaitu hampir 700,000 orang adalah daripada golongan belia.

“Selain modul PLKN yang mungkin boleh ditambah baik mengikut keperluan semasa, perlu juga ada program yang dapat memberi peluang kedua kepada remaja yang tercicir dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sebab itu, kita juga sedang berkoloberasi dengan syarikat yang terlibat dalam industri gas dan petroleum bagi melatih golongan sasar,” katanya. – MalaysiaGazette