Tertuduh, Roni Pito dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Jasin, hari ini, kerana menipu penjualan batu delima yang kononnya dapat merawat penyakit berharga RM54,500 tahun lalu.

JASIN – Seorang penjual buah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Jasin, hari ini, kerana menipu penjualan batu delima yang kononnya dapat merawat penyakit tahun lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Roni Pito, 47, selepas mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memperdayakan Talib Dahlan @ Jaslan, 76, iaitu dengan curang mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM54,500 kepada tertuduh.

Pembayaran itu adalah untuk membeli batu delima berkenaan yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tunai itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan itu dilakukan di Bandar Jasin, di sini, pada 5 Oktober 2022.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kerugian besar dialami mangsa yang juga warga emas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan bermula dari tarikh ditangkap pada 19 Jun lalu atas alasan menanggung isteri dan tiga anak termasuk bongsu berusia 12 tahun.

MalaysiaGazette pada 13 Oktober tahun lalu melaporkan pasangan warga emas kerugian lebih RM50,000 selepas menjadi mangsa penipuan sebutir batu delima yang kononnya dapat merawat segala jenis penyakit.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mispani Hamdan dilaporkan berkata, kejadian bermula apabila pengadu dan isterinya, 70-an tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali, mengeluarkan sebutir batu delima bersaiz batu cincin dari poketnya.

Batu delima itu didakwa kononnya mampu mengubati pelbagai penyakit serta mempunyai nilai yang tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast