Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan tahap penguatkuasaan pihak tertentu lemah susulan penemuan operasi penternak ayam pedaging di sebuah ladang babi di negeri ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pemilik ladang berkenaan agar ia menjadi pengajaran bagi orang lain.

“CAP tidak faham bagaimana ia boleh beroperasi tanpa lesen sejak sekian lama dan ini secara tidak langsung menunjukkan tahap penguatkuasaan yang lemah.

“Sehubungan itu, kita gesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) buat siasatan segera terhadap semua ladang babi supaya tidak berlaku tempat lain.

“Pihak berkuasa juga perlu buat siasatan menyeluruh dan siasatan itu perlu didedah kepada orang ramai,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, pada masa ini, banyak berlaku kes penularan penyakit daripada haiwan dan ia boleh mencetuskan kebimbangan.

“Berdasarkan kenyataan DVS semalam, pemilik ladang mendakwa ayam berkenaan hanya dihantar dan dijual kepada pembeli bukan Islam namun kita tidak pasti.

“Sekiranya mereka ada lesen, sudah tentu pihak berkenaan tahu mengenai operasi ladang itu,” katanya.

Semalam, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan terdapat sebuah ladang di Seberang Perai yang menternak babi bersama ayam di dalam satu kawasan yang sama.

Bagaimanapun, DVS mendapati ayam yang diternak di ladang terbabit tidak dihantar ke mana-mana rumah sembelihan dan hanya dijual di pasaran bukan Islam sahaja serta tidak melibatkan penjualan ke lokasi lain.

Sejak Ahad lalu, tular satu video yang memaparkan satu ladang yang menternak ayam dan khinzir dipercayai di Pulau Pinang.

Kegiatan tersebut dibongkar oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain menerusi akaun TikTok @sophianmohdzain7 yang memuat naik kandungan tersebut. – MalaysiaGazette