ALOR GAJAH – Kerajaan akan memperhalusi beberapa cadangan bagi memastikan kebajikan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia, (ATM) terus terbela susulan penamatan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) Disember ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perbincangan lanjut antara kerajaan dan Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) akan dilaksanakan bagi meneliti beberapa cadangan lain untuk membantu kumpulan berkenaan.
“Kita juga akan melihat balik kerana kita ada MVK di mana wakil-wakil persatuan veteran biasanya akan hadir, kita berbincang dan itulah majlis tertinggi bagi menentukan hala tuju dan kebajikan veteran ATM.
“Saya fikir buat masa ini memang fokus kita kepada kebajikan, kesihatan, pendidikan perumahan dan yang terkini empower bagaimana kita boleh membantu usahawan-usahawan veteran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Outreach dan CSR Perkeso 2023 di Dewan Serbaguna Felda Tun Ghafar, Alor Gajah hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) memohon agar kerajaan meneruskan pemberian PKKP pada tahun-tahun seterusnya sebagai menghormati dan menghargai jasa perkhidmatan serta pengorbanan anggota vateran kepada negara.
Ini berikutan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu mengisytiharkan pindaan undang-undang berkaitan pencen yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun bermula 2013 adalah tidak sah.
Namun mesyuarat Kabinet mengumumkan bayaran yang sudah dibayar tersebut akan dianggap sebagai PKKP dan diteruskan hingga Disember ini.
Mengulas lanjut, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, kebajikan veteran tentera tetap menjadi keutamaan walaupun terdapat perubahan atau penyelarasan dalam skim pemberian PKKP yang akan ditamatkan akhir tahun ini.
Jelasnya, segala keputusan yang dibuat kerajaan perlulah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk sudut perundangan. – MalaysiaGazette