Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap ketika hadir ke Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 (KPro 2.0) di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN 15 JULAI 2023.

SHAH ALAM – Pendirian Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai status Malaysia sebagai negara pelbagai kaum dilihat bertentangan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya Muhyiddin menegaskan, status Malaysia sebagai negara pelbagai kaum tidak seharuskan dibahaskan kerana ia adalah fakta yang tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

“Malaysia adalah negara pelbagai kaum, keturunan dan agama, itu satu fakta yang tak perlu dibahaskan. Nak dikatakan negara Melayu negara, itu tak penting bagi saya tapi fakta itu sudah ada.

“Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih atas dasar demokrasi, saya bukan orang Melayu, di kawasan saya ada Cina, ada India, jadi kita mesti berlaku adil kepada mereka,” katanya pada Konvensyen Profesional 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir berkata, Malaysia adalah negara Melayu seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan usaha mempromosikan berbilang bangas itu bertentangan perundangan.

Dr Mahathir berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyebut Malaysia sebagai negara berbilang kaum, sebaliknya menekankan keMelayuan Malaysia.

Sementara itu, Muhyiddin memberi jaminan PN akan memberi keadilan untuk semua rakyat dan ia telah dibuktikan dalam pentadbiran di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Persekutuan sebelum ini.

“Saya tak sangka dia (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) seorang saintis dan profesor boleh mengetuai Kerajaan (Terengganu). Pas boleh tadbir Kelantan lebih 30 tahun.

“Tapi sekarang tentang PN memimpin kerajaan, ia adalah kombinasi usaha orang Malaysia dan bersedia bekerjasama, walaupun ada perbezaan latar belakang.

“Rakyat Malaysia tak perlu risau dengan gelombang hijau, saya tak tahu mana datang gelombang hijau, sekarang gelombang hijau dan biru PN, itu yang nyata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette