KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sama ada ahli UMNO sanggup mengundi Bersatu yang satu masa dahulu pernah merancang untuk mengharamkan parti itu.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, strategi pembangkang ketika ini hanya menyerang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tanpa mengusik UMNO kerana mahu mendapatkan undi ahli parti itu dalam pilihan raya negeri.
Tambahan, menurut Anwar, Ahmah Zahid diserang kerana mengetahui perancangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mengharamkan UMNO ketika mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
“Saya nak beritahu orang-orang UMNO yang goyang sekarang ini. Sanggupkah kamu beri dukungan kepada parti sebaik dia berkuasa akan mengharamkan parti keramat kamu?
“Apa jenis manusia yang boleh khianat amanah? Dia marah Zahid pasal apa? Sebab Zahid mengambil pendirian yang tegas. Ketegasan kerana dia tahu sejarah ini.
“Pilihan masa itu apa? Pas, Bersatu minta bersama dengan UMNO, masa dia lemah minta pertolongan UMNO. Andai kata dia kuat UMNO memang nak haramkan kerana Bersatu daripada awal ditubuhkan untuk mengantikan UMNO,” kata Anwar lagi.
Presiden PKR itu turut mengulangi dakwaan beliau dan rakan dalam PH tidak bersetuju semasa Dr Mahathir dan Muhyiddin mahu mengharamkan UMNO.
Ini kerana parti terbesar orang Melayu itu mempunyai sejarah penting dalam negara.
Sementara itu, beliau tidak faham mengapa terdapat ahli parti itu yang begitu membenci Ahmad Zahid.
“Saya bukan ahli UMNO tapi saya tidak boleh faham apa politik sampai begini. Beza pendapat dengan Datuk Seri Ahmad Zahid tidak mengapa, nak kritik boleh. Tapi salah dia apa?
“Kerana dia bersama Kerajaan Perpaduan? Salah dia apa? Konon kerana dia gadai prinsip kepada DAP?” soal Anwar.
Sementara itu, menurutnya, pilihan raya di enam negeri perlu dijadikan landasan oleh parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menewaskan Perikatan Nasional.
Ahli UMNO, menurut Anwar perlu menggunakan peluang itu untuk mengajar Bersatu yang mahu mengharamkan parti tersebut.
“Gunakan segala kekuatan yang ada pada UMNO, MIC, MCA dan PH. Ini masa kita untuk mengajar mereka yang hendak mengharamkan parti kita.
“Kalau masih ada muka-muka ahli UMNO yang masih goyang-goyang, lesing sama dia,” seloroh Anwar.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pelancaran Jelajah Perpaduan Madani dan Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Guar Chempedak malam ini.- MalaysiaGazette
Disampok apa pulak ANWAR ni sungguh luar tabi’i pengetahuan dia. Tanya lah adakah ahli UMNO setuju Pengkhianat call GURU PENGKHIANAT? Tanya adakah akarumbi masih ada walau sedikit Kepercayaan atau Keyakinan terhadap ZAHID HAMIDI? Tanya adakah PENYOKONG BOSSKU akan memilih ZAHID HAMIDI? Yang pergi sembang celah kangkang party Pembangkang apa JADAH.. sampai K.O lah jawabnya.