Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas Forum Nasional Kerangka Kerjaya Industri GIG di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR –  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengenai isu pengharaman parti itu pada 2018.

Presiden UMNO itu berkata, kenyataan Annuar itu adalah seperti ‘kaduk naik junjung’ apabila beliau membuat kenyataan berbeza dengan semua kepimpinan parti itu yang mengetahui akan langkah mengharamkan UMNO ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

“Jangan berceritalah lagi yang kononnya saya dan kepimpinan utama tidak tahu kamu seorang sahaja yang tidak tahu, kamu tidak bersama dengan UMNO walaupun kamu Setiausaha Agung UMNO.

“Lepas itu kamu (dilantik) Setiasusaa Agung BN, inilah seorang yang tidak tahu mengenang jasa, bila kaduk naik junjung, inilah peribadi seseorang itu,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Forum Kerangka Kerjaya Industri GIG, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan Annuar yang menafikan wujud usaha untuk mengharamkan UMNO.

Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata, Dr. Mahahtir dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Menteri Dalam Negeri turut menafikan wujud rancangan untuk mengharamkan UMNO.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Annuar ketika menjawat jawatan Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN) lebih cenderung kepada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya nak beritahu Annuar Musa. Kamu tahu apa?. Kamu jadi Setiausaha Agung saya yang lantik sebab selepas kamu kalah jawatan Timbalan Presiden UMNO.

“Hati kamu lebih ke sana, bila kita adakan Muafakat Nasional dan Penyatuan Ummah, hati kamu lebih ke sebelah sana (Pas) bukan kepada UMNO,” ujarnya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Ahmad Zahid menjadi sasaran serangan lawan kerana beliau mengetahui rancangan untuk mengharamkan UMNO.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa Dr Mahathir dan Muhyiddin merancang untuk mengharamkan UMNO ketika mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast