SEKINCHAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataannya bahawa Kabinet Kerajaan Perpaduan bersih sepanjang lapan bulan di bawah pentadbirannya.
Anwar juga berpuas hati dengan prestasi Jemaah Menteri bebas daripada salah laku yang boleh menjejaskan integriti Kerajaan Perpaduan.
“Saya dah jawab lapan bulan patut teliti ucapan saya lapan bulan saya Perdana Menteri,
“Saya ikuti laporan semasa ke semasa dari LHDN, PDRM dan SPRM
“Malah saya puas hati tak ada kes yang menjejaskan dari segi integriti,” katanya kepada pemberita di MSekin Wonderland, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendakwa kenyataan Anwar itu memberi persepsi salah.
Syed Saddiq juga mendakwa, ia memberi isyarat seolah-olah kes membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan digugurkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Dalam pada itu, Anwar menasihatkan Syed Saddiq agar menumpukan salah laku pemimpin terdahulu yang masih memainkan isu Islam dan Melayu untuk mengaburi kes salah lakunya.
“Saya nasihatkan tumpu orang sakau wang berbilion nampak tersembunyi melalak sana sini pertahan Melayu Islam.
“Tugas saya dalam kerajaan, jangan ada amalan sakau, laporan saya prestasi lapan bulan dipantau tapi agensi penguatkuasan tanpa mengira parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette