SHAH ALAM – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi agensinya, MyCreative Ventures memberi jaminan untuk membantu vendor termasuk artis tempatan yang terjejas akibat pembatalan Festival Good Vibes 2023.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana hanya vendor dan artis antarabangsa sahaja yang mendapat bayaran meskipun festival tersebut dibatalkan.
“Kita telah berhubung dengan vendor-vendor dan juga local act (orang seni), saya difahamkan international act rata-rata telah menerima bayaran, tapi para artis tempatan tidak menerima bayaran.
“Pihak MyCreative Ventures ada berhubung untuk lihat apa yang boleh dibantu terutama untuk vendor-vendor makanan dan para artis tempatan.
“Saya serah kepada mereka untuk maklumkan apa bantuan yang dapat mereka sediakan,” katanya kepada pemberita di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.
Semalam ini, KKD membatalkan Festival Good Vibes 2023 dengan serta-merta susulan perbincangan itu dibuat selepas berlaku insiden yang bersifat biadap oleh vokalis kumpulan muzik The 1975.
Kumpulan muzik antarabangsa itu antara lain tampil di pentas dengan memegang botol arak, mengeluarkan kata-kata kesat, merendahkan agama rasmi dan undang-undang Malaysia serta bercium dengan ahli kumpulannya. – MalaysiaGazette