KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa terharu dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, malam ini.
Lebih menyentuh hatinya apabila Allahyarham prihatin dan terus berjuang memikirkan kesejahteraan rakyat di akhir hayatnya.
“Sehingga hujung nyawa beliau prihatin dan terus berjuang memikirkan kesejahteraan rakyat.
“Seorang rakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang sangat saya hormati, berperwatakan rendah diri.
“Beliau sentiasa komited dan berdedikasi di dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Salahuddin menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, jam 9.23 malam ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu, Nur Syakirin Husnal dalam satu kenyataan, jam 10 malam tadi.
Jumaat lalu, Salahuddin dikejarkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Timbalan Presiden Amanah itu juga telah disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar hospital berkenaan.
Menerusi kenyataan Nur Syakirin pagi semalam, Salahuddin selamat menjalani pembedahan di hospital sama.
Ahmad Zahid juga menyifatkan pemergian Salahuddin sebagai satu kehilangan besar kepada negara sebagai seorang pemimpin yang hebat.
“Marilah bersama kita berdoa semoga Allah SWT merahmati beliau dan memberikan kesabaran kepada seisi keluarga di atas kehilangan ini.
“Al-Fatihah…,” katanya. – MalaysiaGazette