Tangkap layar ketika Salahuddin sampaikan pesanan akhir.

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub sempat menitipkan nasihat terakhir berkaitan jawatan yang disandang oleh seseorang.

Beliau dilaporkan berkata, jawatan yang dipegang tidak seharusnya menjadi kemegahan dan kesombongan.

Ini kerana jawatan yang dinikmati tidak kekal selama-lamanya kerana ia hanya bersifat sementara.

“Kita kena ingat, kita pegang jawatan ini sampai bila? Ada kereta rasmi, ada pengawal, ada pemandu. Dan hari ini (saya ada) tidak kurang tujuh pengawai khas.

“Sampai bila itu? Cuba fikir baik-baik sampai bila. Sampai kiamat? Sampai bila kalau saya nak berlagak ‘Oh, saya menteri, awak tahu?’

“Boleh macam itu? Jadi apa pun jawatan yang kita pegang hari ini sedarlah ia hanya sementara,” kata Salahuddin semasa sesi Towhall Pesta Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM) 2023 bersama mahasiswa pada Jumaat lalu.

Ucapan itu kini tular di media sosial dan mendapat perhatian netizen yang tersentuh dengan pesanan akhir yang dikongsikan Allahyarham.

“Manusia pergi meninggalkan nama. Betul nama orang yang baik akan sentiasa meniti di bibir. Pesanan terakhir sebelum segalanya berubah sekelip mata. Damailah di negara abadi. Husnul khotimah, amin,” doa @aiensyamsul.

“Satu nasihat yang sememangnya memberikan makna yang sangat mendalam oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin untuk dijadikan pedoman oleh kita. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-fatihah,” kata @aaron16denison.

Salahuddin, 61, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram meninggal dunia pada 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di sini, pada jam 11 pagi ini.

Lebih 1,000 orang ramai hadir ke masjid bagi memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast