Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melawat kawasan tanah mendap di Lebuh Raya KL- Karak hari ini.

KUALA LUMPUR – Laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak berhampiran Plaza Tol Bentong yang menjadi lokasi tanah mendap dijangka dibuka semula kepada pengguna pukul 7 malam ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak kontraktor telah mengambil langkah menimbus kawasan mendapan dengan konkrit sejak semalam sejurus kejadian berlaku.

Menurut beliau, jurutera Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan ANIH Berhad akan membuat penilaian akhir sebelum jalan berkenaan dibuka semula.

“Kerja-kerja turapan akan dimulakan sejurus selepas konkrit keras,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Alexander Nanta meninjau lokasi tanah mendap hari ini bagi melihat sendiri mendapan tanah yang berlaku.

Beliau berkata, berdasarkan laporan awal MRL, mendapan seluas 9.5 meter berlaku akibat runtuhan terowong 2 ECRL (Tunnel 2).

Tambahnya, siasatan menyeluruh akan dilaksanakan oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) tersebut bagi pembaikan jangka masa panjang.

Dalam masa yang sama, beliau turut memberi jaminan pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi mengesan sebarang pergerakan tanah.

Sebagai rekod, kejadian mendapan tanah tersebut berlaku sekitar 8.30 malam semalam di KM 66.1 arah Barat dan Timur, di antara Persimpangan Bentong Barat ke Persimpangan Bentong
Timur.

Kejadian itu mengakibatkan penutupan kedua-dua arah lebuh raya berkenaan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tanah mendap: Lebuhraya KL-Karak berhampiran Plaza Tol Bentong ditutup