Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Pas hari ini melarang semua ahlinya daripada memberikan sebarang kenyataan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu melarang ahlinya untuk berbuat demikian namun dibolehkan sekiranya mendapat kebenaran Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden Pas bagi mengelakkan timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan khususnya dalam tempoh Pilihan Raya ini.

“Pas yakin dengan perjuangannya yang berteraskan Islam serta hala tuju yang jelas demi kepentingan agama, bangsa dan negara yang digerakkan bersama Gabungan Perikatan Nasional akan terus diberikan mandat untuk mara berkhidmat kepada negara dan rakyat jelata di peringkat negeri dan negara,” katanya dalam kenyataan satu muka surat, lewat petang tadi.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas turut memberikan peringatan kepada mana-mana ahlinya agar memberikan komitmen maksimum bagi memastikan kemenangan calon PN dalam enam PRN yang diadakan serentak pada 12 Ogos ini.

Jelas Takiyuddin lagi, arahan yang dikeluarkan pemimpin parti itu, khususnya jabatan pilihan raya, mestilah dipatuhi.

“Secara tegasnya sebarang tindakan yang menyalahi dan merugikan parti adalah suatu kesalahan tatatertib yang boleh diambil tindakan sehingga dipecat.

“Ini termasuklah sebarang tindakan seumpama menjadi calon atau menyokong calon selain daripada calon PN,” katanya lagi.

Kenyataan itu ekoran timbul rasa tidak puas hati akar umbi parti itu mengenai pengagihan kerusi dalam kalangan parti PN.

Antara yang paling menonjol ialah pembabitan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau yang bertanding di kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang.

Sebelum ini, Dominic dikatakan akan diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan di Tasek Gelugor namun ia dibantah Pemuda Pas kawasan terbabit.

Naib Ketua Pemudanya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar, memberi amaran jika Dominic masih berkeras bertanding di kerusi berkenaan, pihaknya bersama seluruh jentera akan menggerakkan perarakan besar-besaran calon Bebas di Telok Ayer Tawar dan Permatang Berangan pada penamaan calon, Sabtu ini.

Malah beberapa pemimpin termasuk anggota Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya Pas Pulau Pinang membantah langkah pemimpin PN meletakkan Dominic di Bayan Lepas. – MalaysiaGazette