Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Inisiatif pendigitalan perkhidmatan pengangkutan antara keutamaan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam menjayakan Ekonomi Madani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu antara usaha kerajaan dalam memudahkan urusan rakyat dengan agensi kerajaan di bawah MOT khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Ada satu lagi inisiatif saya akan umumkan pada minggu hadapan yang bakal memberikan kesenangan kepada golongan muda khususnya anak muda yang belum memiliki lesen memandu.

“Satu dasar baharu yang memudahkan kepada pemohon lesen memandu.

“Fokus kita untuk mengembangkan semula ekonomi negara supaya memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di Suruhanjaya Sekuriti (SC), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Anthony berkata, Ekonomi Madani menjadi kerangka utama Kerajaan Perpaduan untuk meletakkan kedudukan ekonomi negara lebih baik di persada antarabangsa.

“Sudah tentu permasalahan yang telah kita ketahui selama ini perlu ditangani dan diberikan perhatian.

“Indeks Penanda Aras (KPI) telah ditetapkan Perdana Menteri di mana kedudukan ekonomi negara kita di pentas dunia telah pun diberikan satu matlamat yang jelas.

“Setiap kementerian telah diberikan satu pengkhususan dan matlamat yang jelas untuk kita capai,” katanya.

Katanya, projek pengangkutan awam berskala mega akan diteruskan MOT untuk menambah baik jaringan sosial ekonomi antara bandar dan luar bandar.

“Beberapa projek penting negara akan diterus dan dilaksanakan.

“Ini termasuk pembinaan LRT dan MRT 3 di Lembah Klang, LRT di Pulau Pinang, projek di Johor, merangkumi Sabah dan Sarawak, iaitu jaringan bas dari luar bandar ke bandar dan juga dalam bandar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast