Penduduk Kampung Batu 20, Jalan Raja Abdullah, Jeram, Kuala Selangor menunjukkan ratusan lalat yang melekat di atas pelekat akibat pencemaran bau dari ladang ternakan ayam. Foto: NIZAM ZAIN

KUALA SELANGOR – Penduduk Kampung Batu 20, Jalan Raja Abdullah, Jeram di sini tidak berniat untuk menutup pintu rezeki ladang ayam susulan gangguan lalat yang menjejaskan rutin kehidupan lebih 10 tahun.

Pencemaran bau hingga mengundang kehadiran ribuan lalat berpunca daripada operasi ternakan ayam yang diusahakan oleh sebuah ladang berdekatan kampung berkenaan.

Wakil penduduk Kampung Batu 20, Jalan Raja Abdullah, Jeram, Kuala Selangor pada sidang media selepas membuat laporan polis terhadap sebuah ladang ternakan ayam penyebab gangguan ribuan lalat di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, hari ini.
Foto: NIZAM ZAIN

Wakil penduduknya, Raja Shariff Raja Sahadan, 41, mendakwa pihaknya sudah membuat aduan berulang-kali kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun tiada tindakan tegas diambil ke atas kilang terbabit.

“Masalah lalat ini menyebabkan seluruh kampung terjejas hingga ada penduduk yang mendapat penyakit dan sukar melakukan aktiviti harian.

“Bukan niat kami untuk menutup pintu rezeki tetapi tidak wajar sebenarnya kilang ayam itu dibina berhampiran kampung.

“Mohon tutup atau lebih baik berpindah ke lokasi lain,” katanya kepada MalaysiaGazette di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Raja Shariff bersama beberapa penduduk kampung dan peguam membuat laporan polis berhubung masalah itu.

Dalam pada itu, beliau berasa kesal apabila penduduk terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli peralatan bagi menghalau serangga terbabit.

“Kami berkali-kali beli pelekat lalat dan penyembur menghalau lalat sehingga ia mendatangkan kerugian, namun kilang ayam terbabit masih buat keuntungan.

“Laporan polis ini diharap membuka mata pihak berkuasa akan kesulitan yang dialami kami,” katanya.

Penduduk Kampung Batu 20, Jalan Raja Abdullah, Jeram, Kuala Selangor, Samsani Mohd Basir bercakap kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, hari ini.
Foto: NIZAM ZAIN

Sementara itu, bagi seorang penduduk kampung terbabit, Samsani Mohd Basir, 46, dia sekeluarga kepenatan untuk membersihkan rumah susulan pencemaran ribuan lalat yang mengotori kediamannya.

“Kalau sampai beribu ekor menyerang, tak terdaya kami nak bersihkan rumah. Sampaikan ada penduduk tidur dan makan dalam kelambu disebabkan masalah ini.

“Setahu saya, lalat ini aktif pada waktu siang dan sebaliknya di sebelah malam. Mohon sangat pihak berwajib bantu kami semua untuk segera menyelesaikan perkara itu,” katanya.

Terdahulu, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menjalankan operasi pemeriksaan di lokasi terbabit semalam.

Menurut MPKS, operasi dilakukan Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS bersama Pejabat Veterinar Daerah Kuala Selangor serta IPD Kuala Selangor.

Hasil pemeriksaan, MPKS mendapati terdapat lapan reban yang beroperasi di ladang terbabit.

Dianggarkan sebanyak 224,000 ekor ayam dan berdasarkan siasatan lalat berada di skala 4 daripada 10 (sederhana banyak) dan usia ayam hampir mencapai tempoh matang untuk dipasarkan.

Selain itu, pemilik reban didapati tidak menguruskan pelupusan bangkai dengan baik, ketidakcekapan rekod kawalan serangga perosak secara konsisten dan pengurusan najis ayam yang tidak bersesuaian.

Susulan insiden itu, ladang ayam terbabit diarahkan tutup serta-merta dan pemilik diarahkan untuk menjalankan kawalan semburan tiga kali sehari menggunakan Resigen atau Iconic. – MalaysiaGazette