Calon Perikatan Nasional (PN) Dun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

GOMBAK – Calon Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, menyifatkan pengundi bukan Melayu tidak akan menerima sebuah parti kleptokrat seperti Barisan Nasional (BN).

Kata beliau, ia kerana landskap politik ketika ini telah berubah berikutan gabungan Kerajaan Perpaduan membabitkan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

“Kalau bukan Melayu tolak PN dalam pilihan raya lalu, saya merasakan bahawa faktor dan juga isu untuk bukan Melayu menolak BN dalam pilihan raya kali ini lebih kuat berbanding alasan-alasan mereka untuk menolak PN,” katanya melawat Pusat Pengundian Awal di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.

Muhammad Hilman diminta mengulas kenyataan calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang yakin lebih 90 peratus sokongan pengundi Cina dan India mampu diterjemahkan pada 12 Ogos ini.

“Mungkin dia (Megat Zulkarnain) merasakan bahawa undi sokongan yang diperolehi PH yang lalu, itu akan diterjemahkan secara langsung kepada BN,” ujarnya.

Calon Perikatan Nasional (PN) Dun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham ditemui selepas membuat lawatan di Pusat Pengundian Awal di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.

Ditanya mengenai penerimaan pengundi muda di DUN Gombak Setia sepanjang tempoh berkempen, beliau berkata, mereka mahukan kerajaan yang prihatin dan membela nasib anak muda.

“Mereka cukup tertarik dengan tawaran yang diberikan PN dalam manifesto kita khususnya soal pemandu e-hailing.

“Bagi mereka tawaran itu cukup baik kerana kerajaan negeri hari ini hanya menawarkan sumbangan secara one-off itu tidak mampu memperdayakan mereka.

“Sebaliknya PN menawarkan tawaran RM700 setahun untuk menjamin keselamatan dan penyelenggaraan kenderaan mereka jauh lebih baik dan menjadikan ia sebagai jaminan untuk kelangsungan kehidupan mereka” katanya.

Berbaki empat hari lagi untuk berkempen, Muhammad Hilman berkata, beliau akan menggunakan strategi dengan menyantuni masyarakat menerusi program secara terbuka.

Katanya, langkah itu dapat menzahirkan keakrabakan calon bersama masyarakat secara dekat bagi meraih sokongan mereka pada hari mengundi nanti.

Pada 12 Ogos ini, kerusi N17 DUN Gombak Setia menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN), Muhammad Hilman dan Mohamed Salim Mohamed Ali (Bebas) – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.