majoriti senyap
Gambar hiasan

PEMERHATIAN sepanjang 11 hari sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bermula 29 Julai lalu mendapati kelebihan memihak kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Jika dibandingkan dengan Perikatan Nasional (PN) – PH dan BN mendahului dari segi kewibawaan sebahagian besar calon, manifesto, jentera dan akar umbi.

PH dan BN juga sejak awal lagi mencalonkan Datuk Seri Aminuddin Harun untuk kembali menjadi Menteri Besar sedangkan PN hanya akan berbuat demikian sekiranya mereka menang kelak.

Di atas kertas, gabungan PH dan BN dilihat tidak mempunyai masalah besar untuk beroleh mandat daripada rakyat bagi kembali membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas 12 Ogos ini.

Cuma yang menjadi persoalan adalah kemampuan parti-parti Kerajaan Perpaduan itu menjayakan misi 36-0 bagi mengekalkan dominasi sepenuhnya di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Majoriti senyap yang lazimnya terdiri daripada pengundi atas pagar menjadi faktor penting dalam menentukan sama ada sasaran tersebut dapat dicapai.

Sikap mereka sukar diramal kerana golongan berkenaan tidak menganggotai mana-mana parti politik dan tidak menyatakan pendirian politik secara terbuka.

Mereka tidak menghadiri ceramah mega atau kelompok dan kurang berminat membicarakan atau mengikuti isu politik dalam media sosial.

Pilihan majoriti senyap pada hari mengundi sering dipengaruhi oleh faktor-faktor ekonomi dan sosial seperti peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan.

Contohnya, individu yang terbeban akibat kenaikan harga barang, sukar mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan serta berdepan kerenah birokrasi dalam permohonan bantuan kebajikan lebih cenderung tidak menyokong parti pemerintah.

Kuasa mengundi kumpulan majoriti senyap tidak boleh dipandang remeh oleh mana-mana calon yang bertanding kerana ia telah dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan diulangi dalam PRU15.

Mereka bukan sahaja boleh menyebabkan kerajaan bertukar malah berupaya mencetuskan situasi Parlimen atau DUN tergantung apabila tiada parti yang beroleh majoriti mudah.

Dalam tempoh kempen yang masih berbaki tiga hari lagi, tidak dapat dipastikan sama ada kaedah walkabout serta ceramah kelompok dan mega berupaya meyakinkan kumpulan majoriti senyap untuk memberi sokongan padu kepada PH dan BN.

Mereka membuat penilaian berdasarkan prestasi Kerajaan Perpaduan selama lebih lapan bulan memerintah dan pendirian sebenar mereka hanya akan diketahui setelah proses penjumlahan undi dimuktamadkan Sabtu ini.

Mungkin agak sukar bagi PN memenangi PRN Negeri Sembilan tetapi sokongan daripada kumpulan majoriti senyap membolehkan mereka bertapak di sekurang-kurangnya lima kerusi DUN.

Itu sudah cukup untuk menggagalkan misi 36-0 yang disasarkan PH dan BN. – MalaysiaGazette