ND Lala atau Amir Amzah Salleh, mendirikan rumah tangga dengan Fauziah pada tahun 1989.

KUALA LUMPUR – Ikatan rumah tangga penyanyi, Datuk ND Lala akhirnya terlerai apabila isterinya iaitu Datin Fauziah Sarman mengesahkan sudah diceraikan oleh suaminya itu.

Fauziah berkata, ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 62, melafazkan cerai itu di Masjid Ar Rahman, Bangsar, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu.

Ia dimaklumkan kepada dirinya melalui aplikasi WhatsApp semalam.

“Alhamdulillah dengan izinNya dan kekuatan kasih sayang Allah kepada saya, saya ingin memaklumkan kepada semua saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos.

“Untuk perkahwinan yang terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat oleh bekas suami (ND Lala) pada tarikh 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan saya dimaklumkan semalam (Selasa) melalui WhatsApp,” katanya.

Dia berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya hari ini.

Sementara itu, Fauziah memberitahu dia berkongsi perkara itu agar tidak timbul fitnah berkenaan status rumah tangga mereka sebelum ini.

Katanya, dia reda dengan takdir yang diterima selepas 34 tahun melayari bahtera rumah tangga bersama suami.

“Saya menulis ini untuk menjelaskan status agar tidak timbul sebarang fitnah dan cuba mendidik jiwa saya untuk tidak menafikan kenyataan yang telah tertulis dalam perkahwinan kami selama 34 tahun ini.

Pada masa sama, Fauziah turut meluahkan rasa syukur kerana dikelilingi insan-insan hebat yang sering memberikan kekuatan untuk dirinya.

“Alhamdulillah, Allah telah memberikan saya kekuatan yang sangat luar biasa untuk menerima ketentuan ini. Saya menerima segala ini dengan berlapang dada kerana saya yakin dengan doa saya, doa insan-insan yang sentiasa ada di belakang saya selama bertahun-tahun ini.

“Mungkin ini asbab untuk saya mendapat kehidupan yang lebih baik, tenang dan sempurna, insya-Allah,” jelasnya.

Pada 1 April lalu, Fauziah memuat naik foto seorang wanita termasuk mendedahkan namanya di Instagram dipercayai individu yang menjadi perosak rumah tangganya.

Fauziah pada 3 April lalu juga hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dipercayai bagi tujuan memfailkan penceraian terhadap ND Lala, namun dinafikan adik Shila iaitu Syada Amzah.

Untuk rekod, ND Lala atau Amir Amzah Salleh mendirikan rumah tangga dengan Fauziah pada tahun 1989.

Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nurshahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast