MELAKA – Dua syarikat dan seorang individu masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melonggokkan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran antara April 2018 hingga Januari lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam, menjatuhkan hukuman itu terhadap sebuah syarikat yang diwakili pengarahnya, Chong Teck Sin, 62, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Sebuah lagi syarikat Y.J.T Constuction & Trading Sdn Bhd. yang diwakili penyelianya, Tan Siew Heng dan seorang individu lain, Fong Chia Fatt, 35, turut mengaku bersalah melakukan kesalahan sama.
Semua kesalahan dilakukan antara 18 April 2018 hingga 20 Januari lalu sekitar Cheng, Batu Berendam dan Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, semua tertuduh mengaku bersalah telah melonggokkan sisa pepejal terkawal di tempat kejadian.
Kesemua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Abd Hadi Abd Wahab memohon semua tertuduh dikenakan hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam selain sebagai pengajaran kepada OKS.
Kesemua OKS dalam rayuannya bagaimanapun memohon hukuman denda yang ringan atas alasan telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan setiap tertuduh didenda minimum RM10,000 dan semua tertuduh membayar denda dikenakan. – MalaysiaGazette