Tertuduh, warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap cucu tirinya berusia 12 tahun, dua minggu lalu.

MELAKA – Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap cucu tirinya berusia 12 tahun, dua minggu lalu.

Tertuduh, pengawal keselamatan berusia 60 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu datuk tiri didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 9.20 malam sehingga 10.30 malam di sebuah rumah dalam daerah Jasin, 6 Ogos lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(a) akta sama.

Manakala mengikut pertuduhan kedua, warga emas itu didakwa telah melakukan hubungan seks dengan objek terhadap mangsa sama pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari tidak menawarkan sebarang jaminan mengambil kira faktor keselamatan mangsa dan saksi-saksi pendakwaan selain tuduhan adalah serius.

Peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hospital dan perlu menanggung isterinya yang juga orang kurang upaya.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Darmafikri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat-syarat tambahan iaitu tidak boleh menghubungi mangsa atau saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 9 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast