Mohamed Khaled Nordin berucap pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Chapter dan Kluster Majlis Profesor Negara di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Gelaran profesor tidak dipakaikan kepada kepandaian yang hanya
disembunyikan atau disimpan untuk kepuasan sendiri.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebaliknya, istilah profesor digunakan dalam konteks yang tidak boleh terpisah daripada masyarakat.

“Pada saya, perkara ini memberi pengajaran yang besar dan mendalam. Apatah lagi sekarang ini, ramai yang melihat profesor hanya pada kebijaksanaan dan kelebihan intelektual.

“Dan melupakan terus ciri kedua yang ada pada istilah tersebut, iaitu nilai kebijaksanaan yang diikat pada hubungan dan manfaatnya kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Chapter dan Kluster Majlis Profesor Negara (MPN), di sini, semalam.

Menurut Mohamed Khaled, gelaran profesor bukan sahaja pengiktirafan kepintaran tetapi ia adalah peletakan tanggungjawab besar yang melebihi kepentingan diri sendiri.

Mengambil contoh majlis yang dihadirnya itu, Mohamed Khaled berkata, walaupun terdapat banyak kluster yang berbeza-beza di bawah MPN, mereka seharusnya bekerja sebagai satu entiti yang saling mengukuhkan.

Tambah beliau, pemikiran dan idea yang dicerna secara in silo dan terpisah-pisah tidak akan memberi impak maksimum.

“Platform kluster di bawah MPN ini bukan satu litar perlumbaan untuk menunjukkan siapa
lebih baik, ilmu siapa lebih besar dan penting atau siapa yang lebih berpengaruh.

“Sebaliknya, pembahagian kluster itu tidak lebih daripada sekadar pengelasan kepakaran
yang seharusnya memudahkan kita untuk menggabung jalin pelbagai ilmu dan disiplin
dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berharap MPN akan mengumpulkan segala bakat dan minda terbaik bangsa untuk digembleng secara strategik bagi membawa kebaikan kepada bangsa dan negara.

“Kepada siapa lagi harus saya sandarkan harapan yang besar ini. Jika bukan pada sebuah
organisasi yang menghimpunkan bakat paling pintar dalam negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast