Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Kebangkitan yang diharapkan selepas kejayaan menyingkirkan Kedah pada pusingan 16 Piala Malaysia gagal diteruskan Perak FC apabila dibelasah 0-4 oleh KL City pada aksi Liga Super malam ini.

Keputusan itu turut menyaksikan Perak tumbang dua kali berturut-turut dengan jumlah besar sembilan selepas anak buah Yusri Che Lah dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-5 dalam perlawanan terakhir.

Bagaimanapun kemenangan di Stadium Perak itu membolehkan KL City bangkit daripada kekalahan dalam dua aksi terakhir.

Ini adalah kemenangan pertama buat Nenad Bacina bagi aksi Liga Super selepas pengendali dari Croatia itu sebelum ini sudah menikmati kemenangan pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia berdepan Penang FC.

Pada aksi terbabit, KL City terpaksa menunggu 30 minit perlawanan untuk memecah kebuntuan apabila penyudah Tchetche Kipre membolehkan pelawat mendahului 1-0.

Belum sempat Perak mencari rentak bagi memulakan babak kedua, mereka dibolosi gol kedua hanya seminit selepas rehat menerusi tandukan Sebastian Avanzini yang menyudahkan sepakan sudut Paulo Josue.

Josue yang bertindak sebagai perancang akhirnya muncul penjaring pada minit ke-55 selepas pemain kebangsaan itu menanduk masuk hantaran lintang Kamal Azizi Zabri daripada sebelah sayap kanan KL City.

Tuan rumah terus derita selepas Sean Gianelli menambah gol menerusi penyudah kemas di hadapan gol ketika masa sebenar berbaki tiga minit untuk membolehkan KL City terus selesa berkelebihan empat gol.

Selepas ini, Perak akan berdepan Negeri Sembilan di Paroi sementara KL City bakal melayan kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri. – MalaysiaGazette