KUALA LUMPUR – Berita gembira buat warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) apabila pusat gimnasium, Bunga Kemboja Fitness kini menawarkan kemasukan percuma tanpa bayaran dalam usaha menggalakan golongan itu mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengasasnya, Krishna Kumar memberitahu, isu kecergasan sememangnya melangkaui sempadan usia dan fizikal serta jantina kerana ia boleh membawa kesan positif kepada kesihatan fizikal dan mental individu.
Justeru ujar beliau, OKU dan warga emas perlu aktif melakukan aktiviti kecergasan terutama di gimnasium yang menyediakan suasana selesa memandangkan ia sememangnya memberi banyak manfaat kepada mereka.
“Kami tidak mahu golongan ini terpinggir dalam isu kesihatan dan mereka digalakkan melakukan senaman ringan yang sudah memadai seperti berjalan di atas mesin larian (treadmill).
“Namun sekiranya mereka ingin melakukan aktiviti mengangkat berat, pastikan ia tidak berlebihan kerana ia boleh menyebabkan kecederaan otot atau tulang.
“Cukup melakukan mengikut kudrat yang termampu sahaja dan jangan memaksa diri serta yang penting kekal menjaga stamina agar sentiasa sihat,” katanya yang juga Presiden Persatuan Pusat Gim Malaysia.
Bunga Kemboja Fitness yang terletak di Seri Kembangan beroperasi bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam kecuali 10 malam pada hari cuti umum.
Bagi golongan OKU dan warga emas, mereka akan diberikan Kad Keahlian Seumur untuk menggunakan semua kemudahan alatan di pusat gimnasium yang kebanyakan terletak aras satu tanpa perlu menggunakan tangga ke aras dua.
Kumar menambah, pihaknya muncul pusat gimnasium pertama yang tidak mengenakan bayaran kepada OKU dan warga emas dalam usaha menjadi contoh kepada pusat lain yang hanya memberi diskaun kepada golongan itu sebelum ini.
Katanya, ini kerana senaman penting bagi semua individu mendapatkan kesihatan yang optimum, mengekalkan berat dan mengurangkan tekanan perasaan.
“Malah aktiviti senaman fizikal yang berselang seli hari adalah lebih baik dari tiada aktiviti langsung untuk mengeluarkan peluh.
“Apatah lagi di gimnasium juga merupakan tempat untuk mengenali sesama ahli yang lain, berkongsi pengalaman mengenai senaman, bersosial dan berjumpa kawan baru bagi OKU dan warga emas agar mereka tidak dipinggirkan dalam kehidupan harian dan hanya hidup dalam lingkungan kumpulan mereka sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette